Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang (sebelum ini di bawah PKP), menyertai Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak. Kecuali Sabah, pergerakan rentas daerah di negeri itu juga kini dibenarkan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, larangan pergerakan rentas negeri mungkin akan ditarik balik paling awal 18 Mac ini, sekiranya angka jangkitan Covid-19 negara menurun ke paras yang boleh dikendalikan dengan berkesan. Namun, ia bukan pembukaan semula sempadan negeri secara menyeluruh seperti sebelum ini. Mungkin, pergerakan akan dinilai berdasarkan tahap keselamatan zon jangkitan (pergerkan zon hijau ke zon hijau akan dibenarkan, misalnya).
“Kita telah belajar dari PKP, PKPB, PKPD sebelum ini. Sekarang kita tahu, pergerakan rentas negeri adalah cara yang berkesan untuk mengurangkan angka jangkitan,” katanya kepada Malay Mail dalam satu wawancara. “Jadi kita ambil keputusan tidak akan ada pergerakan rentas negeri sehingga 18 Mac ini,” tambahnya.
Angka jangkitan di Malaysia semakin menunjukkan corak menurun minggu lalu, berada di bawah 1,000 kes; semalam bagaimanapun angka kembali naik kepada 2,063 kes. Bulan lalu, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, SOP dan pergerakan rentas negeri ketika pandemik ini tidak akan dilonggarkan sehingga kita mencapai “imuniti kelompok”.
Beliau juga menambah, kerajaan memerlukan lebih banyak data dan menggunakan pelan vaksinansi empat peringkat, yang mungkin memakan masa sehingga sembilan bulan, sebelum negara dapat memvaksin sekitar 70 hingga 80 peratus warganya. Beliau berkata, untuk membuka semula sempadan, negara lain juga perlu mencapai tahap vaksinasi yang berjaya juga.
Diminta mengulas kenyataan Dr. Noor Hisham, Dr. Adham berkata: “Apa yang beliau maksudkan adalah untuk mencapai imuniti kelompok tetapi itu adalah langkah terakhir. Kita akan lakukan lebih cepat kerana ingin mengimbangkan keperluan hidup”.
Menteri berkenaan menyatakan kerajaan lebih berhati-hati kali ini dan akan mempertimbangkan pergerakan domestik bagi zon-zon hijau terlebih dahulu. “Kami akan ambil langkah untuk membenarkan pergerakan rentas negeri berdasarkan pertimbangan tertentu. Kami akan mewujudkan “gelembung atau laluan kawasan hijau,” ujarnya.
Pelaksanaan SOP ketat juga wajar diteruskan, dan pengguna perlu mengambil tahu dan peduli tentang status kawasan yang ingin mereka kunjungi itu. “Semua maklumat ini boleh diakses dari aplikasi MySejahtera,” tambah beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.