Honda merancang untuk memindahkan kilangnya dari India ke Indonesia, walau pun tidak mendedahkan bila ia akan dilaksanakan. Menurut laporan CNN Indonesia, menteri industri republik berkenaan, Agus Gumiwang, mendedahkan, rancangan ini dilakukan selepas mesyuarat dengan barisan kepimpinan Honda dalam sesi lawatan ke Jepun minggu lalu.

Agus berkata, Honda telah memberikan komitmen yang utuh dalam pelaburan di Indonesia. “Honda komited untuk meningkatkan pelaburan sehingga 2024 iaitu sekitar 5.2 trilion rupiah (RM1.49 bilion), termasuk membangunkan model baharu yang akan dilakukan di Indonesia,” katanya. Beliau menambah pengeluar kereta berkenaan turut merancang membangunkan model elektrifikasi di republik berkenaan, namun perinciannya tidak didedahkan, juga tidak dimaklumkan adakah ia bakal melibatkan model hibrid.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga sedang meneliti untuk meningkatkan aktiviti eksport, sama ada dalam bentuk kenderaan dan juga komponen, dengan “komponen kereta yang dihasilkan di Indonesia bakal menjadi bekalan rantaian global.”

Sebelum ini, Honda Prospect Motor (HPM) berkata pengeluar kereta ini mencari peluang pelaburan baharu di Indonesia, tetapi tidak menyebut pelaburan berkenaan melibatkan penempatan semula kilang. Pada masa itu, HPM berkata, pelaburan terbabit bukan untuk pembangunan kereta elektrik dan hibrid, tetapi akan memfokuskan strategi kereta konvensional mengikut keperluan pasaran.

Buat masa ini, HPM memiliki dua kilang pengeluaran di Karawang, Jawa Barat, dengan kapasiti tahunan sebanyak 200,000 unit. Produk pemasangan tempatan termasuk CR-V, HR-V, BR-V, Mobilio dan Brio.

Berita mengenai kemungkinan melaksanakan penempatan kilang produksi di Indonesia mula bertebaran selepas tiga bulan setelah pengeluar kereta berkenaan berkata pihaknya akan menghentikan satu daripada dua kilang pengeluaran kereta di India, di mana jika digabungkan kapasiti produksi kedua-dua kilang berkenaan, ia mampu mencecah 280,000 unit.

Pada Disember lalu, Honda mengumumkan pemberhentian produksi kereta di kilang di Greater Noida, berhampiran New Delhi, dan memindahkan semua produksi kenderaan dan komponen di negara tersebut ke kilang di Tapukara di Rajasthan, yang mampu mengeluarkan 180,000 unit setahun. Dalam tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac 2020, Honda telah menjual sekitar 102,000 unit kenderaan di India dan mengeksport sebanyak 4,000 unit.

Penyesuaian semula operasi pembuatannya sebenarnya adalah langkah biasa, memandangkan kapasiti pengeluaran sangat kurang digunakan. Julai lalu, Honda telah mengumumkan rancangan untuk menjadikan India sebagai pusat eksport strategik untuk unit pemanduan kiri ke Eropah pada akhir 2020 sebagai kaedah untuk mengimbangi permintaan tempatan yang perlahan.