Sebelum ini, dalam Kad Pendaftaran Kenderaan (RC) ada tertera makluman untuk pemilik yang menukar warna badan kenderaan haruslah memaklumkan kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Namun demikian, selepas RC ditukarkan kepada Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) mulai Jun 2016, makluman tersebut tidak lagi dipaparkan.
Ini menjadi tanda tanya di kalangan pemilik kenderaan, adakah masih perlu untuk memaklumkan kepada JPJ berkenaan dengan pertukaran warna badan kenderaan dari yang asal ke warna baharu. Berikutan persoalan tersebut, terkini, JPJ telah berkongsikan info grafik mengenai perkara ini.
Menurut JPJ, langkah yang perlu dibuat selepas kenderaan siap ditukar warnanya ialah pemilik haruslah ke cawangan JPJ yang berhampiran untuk urusan makluman penukaran warna kenderaan tersebut.
Jika melebihi daripada satu warna, warna yang paling banyak atau dominan dianggap warna kenderaan. Contohnya, mungkin anda memilih ungu sebagai warna utama, dengan biasan kuning atau perak, maka ungu itulah yang akan dispesifikkan sebagai warna utama kenderaan. Anda perlu mengisi borang JPJ K8 (pindaan butir-butir kenderaan) dan diserahkan kepada pegawai JPJ yang bertugas. Kemudian pegawai berkenaan akan mengemaskini maklumat terbabit menerusi sistem MySikap.
Bagi urusan mengemaskini maklumat sebegini, tiada sebarang pembayaran yang dikenakan, kata JPJ.
JPJ turut memaklumkan, merujuk Seksyen (12) APJ 1987, setiap pemilik kenderaan yang menukar warna, perlu diberi suatu Notis Arah Periksa atau PG1. Notis tersebut diberikan supaya pemilik memaklumkan kepada JPJ setiap perubahan warna kenderaan berkenaan dan bukanlah saman kerana tukar warna kenderaan.
Baru-baru ini, ada berita tular di laman media sosial mengenai pemilik kenderaan yang disaman kerana tidak mengemaskini maklumat mengenai penukaran warna kenderaan. Justeru, dengan adanya informasi yang dikongsikan ini dapat memberikan panduan untuk pemilik kenderaan mengenai prosedur yang perlu dilakukan selepas selesai mengecat kenderaan anda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Motorsikal tukar warna corak celoreng askar… boleh ker?