Sportsbike kelas pertengahan baru keluaran Aprilia, iaitu RS660 pertama kali didedahkan kepada dunia pada penghujung tahun 2019, dan memasuki tahun 2020, ia mula dijual di Eropah. Kini, model yang dikuasakan oleh enjin dua silinder selari DOHC 660 cc tersebut sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM59,900 tidak termasuk insurans.

Bersama padanan kotak gear enam kelajuan, RS660 dapat menghasilkan kuasa 100 hp pada 10,500 rpm dan 67 Nm tork pada 8,500 rpm. Menyokong lagi pemacu ini, penunggang disediakan dengan lima mod tunggangan, Cornering ABS, Aprilia Cruise Control serta Aprilia Quick Shift.

Model ini juga datang dengan pelbagai lagi sistem elektronik secara standard, termasuk Aprilia Traction Control, Aprilia Wheelie Control, Aprilia Engine Brake serta Aprilia Engine Map. Sistem ini mendapat input daripada Inertia Management Unit (IMU) 6 axis dan melaras tindak balas setiap sistem mengikut keperluan.

Panel instrumen motosikal ini menggunakan unit digital TFT yang selain memaparkan informasi penting motosikal, juga boleh disambung dengan aplikasi telefon bimbit Aprilia MIA (pilihan tambahan) untuk fungsi seperti menjawab/membuat panggilan, mengawal muzik dan navigasi.

Kelengkapan lain yang terdapat pada RS660 adalah termasuk fork Kayaba 41 mm boleh laras sepenuhnya, monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan, cakera berkembar 320 mm berserta angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 220 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang, rim 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 183 kg dan tinggi tempat duduk 820 mm.

Didi Resources Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia menyediakan dua warna untuk RS660 ini, iaitu Lava Red dan Apex Black, dan ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.