Aplikasi telefon pintar yang pemilik BMW dan MINI, My BMW dan My MINI, telah pun diperkenalkan di Malaysia, bagi menggantikan aplikasi sebelumnya – BMW dan MINI Connected – yang menawarkan beberapa ciri baharu. Perisian baharu ini juga telah dilancarkan di Eropah, China dan Korea pada Julai lepas, dan negara kita antara 10 negara yang menerimanya sejak semalam, termasuklah Jepun dan Australia.

Kedua-dua aplikasi ini menawarkan akses segera dan keupayaan untuk mengurus status kenderaan, serta dapat berhubung terus dengan pusat servis BMW atau MINI pilihan masing-masing. Aplikasi tersebut juga memudahkan para pengguna untuk mengawal fungsi kenderaan BMW atau MINI mereka dari jauh, termasuk pelbagai perkhidmatan navigasi dan e-mobiliti yang komprehensif.

Struktur tab tiga serangkai yang serba minimalis pada My BMW dan My MINI menampilkan Tab Vehicle, Map dan Home. Tab yang pertama memberi akses ke atas perkhidmatan kenderaan berjarak jauh yang meliputi Active Charging, Vehicle Finder, Remote Lock dan Remote Unlock dengan Climate Charge serta Climate Timer. Ciri kefungsian eksklusif dalam My BMW App yang baharu turut merangkumi Remote Engine Start dan Flashlights, di samping Remote Software Upgrades untuk memastikan perisian kenderaan pengguna sentiasa dikemaskini.

Selain itu, pengguna dapat menguruskan keperluan servis dan penyenggaraan kenderaan mereka melalui aplikasi tersebut – termasuk penggera servis dan panggilan semula, serta penjadualan janji temu dalam talian. Jika pengguna menghadapi masalah, BMW Roadside Assistance dan MINI Roadside Assistance juga boleh dihubungi melalui aplikasi baharu ini. Driver’s Guide turut disediakan bagi pemilik BMW dan MINI dalam aplikasi masing-masing – digital sepenuhnya dan dapat diakses di mana-mana jua, pada bila-bila masa.

Fungsi e-mobiliti yang disediakan di bawah tab Vehicle dalam kedua-dua aplikasi tersebut menyediakan gambaran keseluruhan yang ditambah baik ke atas Fuel/Battery Level, Range Status dan Charging Status, serta Charging History – yang merupakan fungsi baharu di aplikasi tersebut. Fungsi pra-penyediaan kenderaan juga ditawarkan sebagai standard demi kemudahan tambahan.

Tab Map membolehkan pengguna kekal termaklum mengenai lokasi dan destinasi yang dituju, yang turut membawakan fungsi seperti Map Search, dan Point of Interests (POIs) dengan ciri e-mobiliti baharu yang meliputi Nearby Parking dan Charging Spots, Charging Station Details, serta POIs yang dapat dicapai. Pengguna juga kini boleh menghantar destinasi kepada kenderaan tersebut selain berkongsi lokasi daripada aplikasi eksternal. Bagi pemilik kenderaan elektrik, Range Circle on Map membantu mereka mengenal pasti destinasi yang boleh dicapai dalam jarak capaian semasa, berdasarkan lokasi semasa.

Para pemilik BMW dan MINI juga boleh meneroka fungsi Message Center dalam aplikasi baharu tersebut, di samping fungsi personalisasi profil – di mana pengguna boleh memuat naik imej yang diperibadikan ke profil pemandu mereka. Eksklusif bagi My BMW App, Connected Drive Store juga boleh diakses dalam aplikasi tersebut, berserta dengan fungsi Discover BMW.

Bukan itu sahaja, pengguna dengan model-model BMW yang terpilih boleh memadankan BMW Digital Key mereka dengan My BMW App – buat masa ini tersedia bagi telefon pintar iOS sahaja. Untuk menggunakan fungsi BMW Digital Key melalui iPhone, pengguna perlu mengaktifkan Connected Drive Services, dan kenderaan BMW tersebut mesti dihubungkan dengan BMW ID.

Sebagai pengetahuan, kedua-dua aplikasi baharu ini akan menggantikan aplikasi BMW Connected dan MINI Connected secara menyeluruh menjelang Julai tahun ini. Di samping itu, pengguna yang sudah berdaftar di bawah aplikasi BMW dan MINI tidak perlu mendaftar sekali lagi untuk mengakses My BMW App dan MINI App.