Pengedar rasmi motosikal jenama Benelli di Malaysia, M Force Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model baru R18i untuk pasaran, yang datang dalam dua versi iaitu Standard (warna hitam dan merah) berharga RM7,999 dan Special Edition (biru) RM8,299. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Daripada apa yang boleh dilihat, R18i ini menggunakan asas sama seperti RFS150i, tetapi beberapa panel (dada dan lampu) telah diubah dan enjinnya dinaik taraf. R18i menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 174 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 18 hp pada 9,500 rpm dan 15.1 Nm tork pada 7,000 rpm.
Kemudiannya, pada panel yang sudah diubah tersebut, R18i dipasang dengan lampu utama jenis projector, DRL LED, lampu belakang LED serta panel meter digital penuh (LCD) yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk laju, rpm, jarak perjalanan, tahap bateri, jam serta kedudukan gear.
Kelengkapan lain serta dimensi R18i dilihat sama seperti RFS150i, termasuklah brek cakera depan dan belakang (240 mm, 220 mm), fork USD, monoshock belakang Kayaba, tangki bahan api 4.8 liter, berat keseluruhan 126 kg dan tinggi tempat duduk 787 mm. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar 80/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Bagi model Special Edition yang dijual RM300 lebih mahal, ia didatangkan dengan tuil brek dan klac yang boleh dilaras dan dibuat daripada aluminium. Benellli R18i didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.