Syarikat pengeluar kenderaan elektrik dari Malaysia, Tree Technologies Sdn Bhd (Treeletrik) telah menandatangani satu perjanjian kerjasama, untuk membekalkan motosikal elektrik penuh ke Indonesia melalui PT Pasifik Sakti Enjiniring dan Nahdatul Ulama Board (PBNU) sebagai pengedar.

Perjanjian ini melibatkan tempoh selama tiga tahun, di mana bagi tahun 2021, Treeletrik akan membekalkan minimum 10,000 unit, kemudiannya diikuti 90,000 unit pada tahun 2022 dan 100,000 unit lagi pada tahun 2023. Perjanjian ini dinilaikan pada harga keseluruhan USD274 juta (sekitar RM1.1 bilion).

Di Indonesia, PT Pasifik Sakti Enjiniring memang sudah mengendalikan perniagaan motosikal elektrik jenama MOLINUS (Motor Listrik Nusantara), dan sekarang portfolio mereka ditambah lagi dengan motosikal Treeletrik. Selain daripada itu, satu kerjasama antara Treeletrik dan PT Pasifik juga sedang dalam perancangan, untuk membuka kilang pemasangan motosikal elektrik di sana.

Motosikal elektrik yang akan dibekalkan oleh Treeletrik ini mempunyai spesifikasi yang disahkan di Eropah dan Malaysia melalui UNECE WP.29, dan mempunyai bateri lithium ion yang boleh dicabut dan ditukar bagi memudahkan pengguna. Ia boleh bergerak dengan kelajuan purata 65-90 km/j dan memberi jarak gerak antara 85 hingga 120 km dengan satu cas penuh.

Pada tahun lepas, Treeletrik telah mula mengeksport 50 unit motosikal elektrik ke Thailand dan Indonesia, dan memasuki tahun ini, 15,000 unit lagi akan dihantar. Syarikat ini juga sedang melihat pelanggan berpotensi lain di Filipina dan Cambodia.