Nissan Navara facelift 2021 dilancarkan di M’sia — enam varian termasuk Pro-4X, dari RM92k-RM142k

Nissan Navara <em>facelift</em> 2021 dilancarkan di M’sia — enam varian termasuk Pro-4X, dari RM92k-RM142k

Selepas dipertontonkan pada penghujung Mac lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini melancarkan model Nissan Navara facelift secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Masih di dalam generasinya yang ketiga (D23), versi terbaru trak pikap ini menerima banyak perubahan dan peningkatan dari segi penawaran serta pilihannya.

Variannya terdiri daripada 2.5L Single Cab MT yang dijual pada harga RM91,900. Ini diikuti oleh jenis double-cab, bermula dengan 2.5L SE MT pada harga RM110,900, 2.5L SE AT pada harga RM116,900, 2.5L V AT pada harga RM125,500 dan 2.5L VL Auto yang dijual RM137,900. Varian paling tinggi pula ialah Pro-4X AT pada harga RM142,200.

Yang dinyatakan ini ialah harga tanpa insurans, dan oleh kerana trak pikap dikategorikan sebagai kenderaan komersial, ia tidak terkesan dengan pengecualian SST seperti kereta penumpang. Sama seperti sebelum ini, Navara diimport sepenuhnya dari Thailand.

Navara kini tampil sangat berbeza berbanding sebelumnya, sementara bahagian lain masih banyak mengekalkan persama. Grilnya kini lebih besar, dengan rekaan seperti trak Titan dan di bahagian bucu terdapat lampu utama quad-projector serta DRL berbentuk C. Bampar juga adalah baru, dengan lampu kabus yang terletak dalam perumah menegak, serta skid plate besar dengan cangkuk penarik.

Nissan Navara <em>facelift</em> 2021 dilancarkan di M’sia — enam varian termasuk Pro-4X, dari RM92k-RM142k

Bonet telah dijadikan lebih tinggi, dengan bonjolan di bahagian tengah, sama seperti ruang barangan belakang yang juga lebih tinggi. Bentuk pemijak kaki tepi baru dikatakan dapat meningkatkan prestasi aerodinamik, lebih senyap dan membantu penjimatan minyak.

Konsep pencahayaan lampu belakang juga dijadikan sama seperti lampu hadapan, dengan terdapat grafik berbentuk C sementara pintu but kini diletakkan dengan tulisan Navara. Bampar belakang yang lebih tegap didatangkan sekali dengan pemijak bagi memudahkan pengguna.

Pelbagai lagi naik taraf luaran diberikan terutama bagi varian Pro-4X termasuk kemasan plastik pada lengkung roda, serta lencana, gril, pemegang pintu, cermin sisi, rel bumbung dan pemijak kaki yang dihitamkan. Rim Pro-4X adalah satu inci lebih kecil berbanding varian VL, iaitu 17 inci, dan ia menggunakan warna hitam dan dibalut tayar A/T. Anda juga boleh melihat sedikit warna oren pada lencana Nissan, penutup cangkuk penarik serta kemasan lengkung roda.

Bahagian ruang barangan belakang Navara Pro-4X datang dengan sistem kargo Utili-Track baru, di mana cangkuk pada bahagian tepi boleh dilungsurkan, sekaligus memberikan fleksibiliti kepada pengguna yang mahu mengikat barang. Fungsi Tailgate Assist juga membantu mengurangkan usaha untuk membuka dan menutup pintu ruang barangan ini.

Nissan Navara <em>facelift</em> 2021 dilancarkan di M’sia — enam varian termasuk Pro-4X, dari RM92k-RM142k

Di dalam juga ada beberapa pembaharuan dilakukan. Paling jelas adalah roda stereng tiga jejari sama seperti Serena baru. Di sebaliknya terdapat meter dengan paparan digital tujuh inci dan dua tolok analog, sementara sistem infotainmen kini menggunakan unit OEM dengan skrin sesentuh lapan inci berserta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Terdapat dua soket USB di bawah perehat tangan (termasuk satu soket USB-C), serta satu lagi di bahagian belakang. Untuk tempat duduk belakang, ia telah direka semula dengan bentuk sokongan lebih baik dan penyandar yang lebih melengkung untuk menjadikannya lebih selesa. Peningkatan lain adalah termasuk tambahan penebat bunyi serta cermin akustik untuk cermin hadapan dan tingkap tepi.

Kelengkapan lain yang diberi pada Pro-4X termasuk tempat duduk balutan kulit, lapik kaki dengan tulisan Pro-4X, lencana Nissan hitam merah pada stereng, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa dua zon, cruise control, cermin pandang belakang malap sendiri, sistem kamera 360 darjah dengan pengesan objek bergerak, mod offroad baru serta enam pembesar suara.

Semua varian terus menggunakan enjin sedia ada, unit YD25 2.5 liter empat-silinder turbodiesel, dengan janaan output yang berbeza bergantung kepada varian. Bagi varian 2.5L Single Cab MT dan 2.5L SE MT, enjin ini menghasilkan 163 PS pada 3,600 rpm dan 403 Nm tork pada 2,000 rpm, dengan kuasa disalurkan oleh transmisi manual enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Bagi semua varian selebihnya pula dilengkapi dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dan 4WD dan mempunyai janaan output yang lebih tinggi iaitu 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm. Kenapa masih dengan enjin sama dan bukannya versi 2.3 liter turbodiesel seperti di Thailand? Jawapannya mudah; spesifikasi untuk model ini ditentukan sejak 2018 lagi dalam keadaan bekalan runcit diesel Euro 5 masih tidak menyeluruh di sini.

Di sebalik badannya pula terdapat beberapa lagi perubahan. Sistem stereng telah ditala semula untuk menjadi lebih cepat dan kurang berat untuk diputar waktu kelajuan rendah, manakala suspensi multi-link di belakang (kecuali pada varian Single Cab paling asas) menampilkan spring dua kadar yang dapat mengurangkan lambungan badan termasuk dengan muatan, meningkatkan stabiliti, keselesaan serta pengendalian. Kemampuan membawa muatan juga bertambah menjadi 1.1 tan.

Ciri baru lain yang terdapat pada Pro-4X adalah pengunci differential belakang elektronik serta Trailer Sway Assist, iaitu sistem yang memberi daya brek sekiranya trak mula berayun apabila menarik sesuatu. Selain itu ada juga cermin depan dan sisi akustik, Active Brake Limited Slip, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, ABS, EBD dan Brake Assist.

Dari sudut perbezaan antara varian pula, Single Cab datang dengan gril biasa, lampu utama halogen, roda besi 16-inci biasa, kluster instrumen monokrom, kawalan audio pada stereng, head unit DIN-berkembar dengan Bluetooth dan satu slot USB, kerusi balutan plastik, pendingin hawa manual, dua beg udara dan dua sensor undur.

Naik ke varian 2.5L SE MT dan AT pula, kelengkapan yang diubah atau ditambah termasuk gril krom dengan nama Navara padanya, cermin sisi lipatan elektrik, pemegang pintu krom, rim aloi 17-inci, pemijak sisi hitam, tiga lagi slot USB pada head unit, kerusi depan ilham dari Zero Gravity Nissan, corong pendingin belakang dan Isofix di kerusi belakang.

Beralih kepada varian 2.5L V AT, ia lengkap dengan lampu utama, lampu kabus dan lampu belakang LED; sistem tanpa kunci; kawalan melayar; paparan multi-info tujuh-inci antara dail analog; skrin sentuh lapan-inci untuk infotainmen dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay; enam-pembesar suara; pendingin dua zon dengan corong belakang. Ia juga lengkap dengan enam-beg udara, AEB, sistem amaran pemandu dan amaran perlanggaran depan.

Bagi 2.5L VL AT pula, ada tambahan lain termasuk landasan bumbung warna perak, rim aloi dua-tona 18-inci, kemasan kerusi balutan kulit dengan corak hexagonal dan benang perak, pengilap cermin automatik, peninjau sekeliling kenderaan dnegan pengesanan objek bergerak dan mod off-road, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran trafik di belakang, bantuan lampu tinggi, peninjau tekanan tayar dan empat sensor undur.

Terakhir bagi varian flagship Pro-4X dibezakan dengan penyudah hitam pada gril, lencana, landasan bumbung, cermin sisi, pemegang pintu dan pemijak sisi, begitu juga dengan bahagian fender dan bampar — dengan sedikit perincian oren. Varian ini juga menggunakan rim 17-inci yang spesifik untuk Pro-4X dengan tayar 255/65 All-Terrain. Varian paling tinggi ini juga lengkap dengan ciri khusus untuknya, termasuk sistem kargo Utiliti-Track yang terdiri daripada cangkuk aluminium yang boleh digelungsurkan sepanjang dinding ruang tersebut.

Jaminan lima-tahun/150,000 km adalah standard untuk semua varian. Pelanggan yang inginkan aksesori tambahan juga mempunyai beberapa pakej untuk dipilih, lengkap dengan jaminan tiga-tahun/100,000 km.

Bagi Single Cab, ada pakej Under Protector yang merangkumi pelindung tadahan minyak, pelindung tangki minyak dan pemijak sisi bernilai RM3,200. Bagi dua varian SE dan V pula ditawarkan dengan pakej Premium dengan tambahan sport bar krom dan filem penapis haba keselamatan V-Kool pada harga RM10,150, dengan varian SE juga menerima papara sistem audio sembilan-inci, dan varian V dengan kerusi balutan kombinasi kulit.

Dua varian paling tinggi — VL dan Pro-4X — boleh juga dipilih dengan pakej Protection bernilai RM10,950, yang melibatkan penambahan sport bar hitam atau krom, pelindung tadahan minyak dan tangki minyak, kick plate logam, visor pintu, perakam video digital dan filem penapis haba V-Kool.

Pilihan warna bagi Single Cab pula terdiri daripada Solid White, sementara SE dengan tambahan Brilliant Silver dan Black Star. Varian V dan VL juga hadir dengan tiga pilihan ini, dengan tambahan warna Burning Red. Bagi Pro-4X, ia datang dalam warna Black Star dan Burning Red, dengan dua lagi warna eksklusif, Stealth Grey dan Pearl White (dengan caj tambahan RM1,300).

Nissan Navara Pro-4X 2021 Burning Red

Nissan Navara Pro-4X 2021 Auto Stealth Grey

Nissan Navara SE 2021 Auto

Nissan Navara SE 2021 Manual

Nissan Navara V 2021 Auto

Nissan Navara VL 2021 Auto

Nissan Navara Single Cab 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required