Seorang warga Malaysia, Jchanet Tan, telah menerima anugerah International Instructor Of the Year daripada National Child Passenger Safety Board (NCPSB) di Amerika Syarikat, memetik satu kenyataan yang dikeluarkan oleh organisasi tersebut. Ditaja oleh Toyota Motor Amerika Utara, anugerah berkenaan diberikan kepada Tan diatas sumbangannya terhadap peraturan keselamatan penumpang kanak-kanak di Malaysia.
Tan sebelum ini memulakan advokasinya pada tahun 2017 melalui kehadirannya yang dibiayai sendiri dalam kursus sijil National Child Passenger Safety Technician (CPST), dan kemudiannya memperoleh gelaran pelatih pada Mac 2018. Tan menyampaikan kursus pertama CPST kebangsaan di Malaysia tidak lama selepas itu, dan telah melatih 77 juruteknik setakat ini, termasuk 12 di Singapura.
Beliau juga telah memulakan organisasi bukan-kerajaan pertama di Malaysia yang memberikan dedikasi agar kanak-kanak kekal selamat ketika berada di atas jalan raya. Laman Facebook kumpulan itu kini telah mencatatkan lebih daripada 27,000 pengikut.
Usaha Tan termasuklah mengadakan “pit stop” untuk pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak segera, program pengesahan produk kerusi kanak-kanak yang selamat untuk pembelian serta program sewa-untuk-beli bagi penjaga berpendapatan rendah.
“Untuk mengubah cara negara ini berfikir tentang keselamatan penumpang kanak-kanak di dalam kenderaan adalah legasi Jchanet Tan, yang mengambil ikhtiar sendiri untuk menjadi juruteknik serta pelatih. Beliau telah menjadi perubahan itu sendiri, dan mempamerkan bahawa tiada had atau sempadan di dunia ini untuk keselamatan penumpang kanak-kanak,” ujar Pengerusi NCPSB, Lonny Haschel.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.