Aprilia baru sahaja memperkenalkan dua model kapasiti rendah baru untuk pasaran Eropah, iaitu RS125 dan Tuono 125. Seperti yang boleh dijangka daripada namanya, dua model ini menggunakan inspirasi rekaan daripada model yang lebih besar iaitu RS660 dan Tuono 660.

Asas dua model baru ini adalah sama – kerangka serta lengan ayun aluminium, dan enjin satu silinder penyejukan cecair, empat strok. Kuasa yang mampu dihasilkan masih belum didedahkan oleh Aprilia, tetapi kami menjangka ia berada di sekitar 15 hp dan 12 Nm. Beberapa peningkatan turut dibuat kepada enjin ini untuk menjadikan kuasanya lebih responsif dan lebih tork di rpm rendah.

Daripada enjin, kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan quickshifter disediakan sebagai pilihan tambahan. Sprocket belakang menggunakan saiz 58 dan kelengkapan lain adalah termasuk brek ABS two-channel, serta cakera brek 300 mm dan angkup dua piston di hadapan.

Suspensi hadapan menggunakan fork USD sementara di belakang ia dipasang dengan monoshock. Aprilia mendakwa tangki bahan api 14.5 liter pada dua model baru ini adalah yang terbaik di dalam kelasnya dan di bawah tempat duduk terdapat ruang barangan kecil yang boleh memuatkan peranti sehingga saiz lapan inci serta soket pengecas USB.

Aprilia RS125 ditawarkan dalam warna Aprilia Black dan Sintesi Blue, sementara satu lagi varian, GP Replica diberikan terus dengan quickshifter serta penutup tempat duduk belakang. Aprilia Tuono 125 pula ditawarkan dalam tiga warna iaitu Aprilia Black, Lightning White dan Arrow Grey.