Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

Malaysia kini sudah bersedia untuk menawarkan insentif cukai menarik bagi memacu agenda kenderaan elektrik (EV) dalam negara. Menurut CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, selain insentif tetap yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengguna dan industri, kerajaan juga bercadang memberi tambahan insentif khas lain untuk pengeluar berdasarkan tahap komitmen mereka.

Semasa sesi webinar bertajuk Permulaan Baru bagi EV di Malaysia yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sektor Automotif Malaysia Eurocham, Madani memberitahu bahawa polisi EV baru ini akan melibatkan insentif tetap dan khas, tidak seperti sekarang di mana insentif diubah suai mengikut Polisi Automotif Negara (NAP) 2020.

“Sekarang ini kami melaksanakan insentif khas, bergantung kepada manfaat ekonomi. Walaubagaimanapun di bawah polisi pemacu EV baru ini, akan ada insentif tetap. Satu bahagian daripada insentif tetap ini adalah berkaitan dengan duti eksais, duti import dan cukai jualan,” kata beliau.

“Tapi sebagai tambahan, jika anda membawa sesuatu yang luar biasa ke Malaysia, kami bersedia untuk mempertimbangkan insentif lebih tinggi, yang diubah suai mengikut tahap yang anda bawa ke dalam negara,” jelas Madani. Inisiatif ini bukan sahaja untuk pengeluar kenderaan, tetapi juga pengeluar komponen EV.

Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

Bagi pembeli pula, insentif cukai sedang dibuat untuk polisi ini, dan kerajaan melihat kepada menyediakan pelbagai manfaat untuk pengguna EV – lapor Bernama. Madani berkata, pengguna secara umumnya akan dapat menikmati insentif terus seperti cukai jalan lebih rendah, skema letak kenderaan kenderaan mesra alam, rebat tol serta rebat pemasangan pengecas di rumah.

Bulan lepas, Madani memberitahu satu perbincangan berkaitan insentif pembeli juga dimasukkan ke dalam kemungkinan rebat diberikan untuk naik taraf sistem pendawaian (dari single phase ke three phase) untuk pengecas di rumah.

“Mekanisme ini sedang dalam tahap kelulusan akhir oleh kerajaan, tetapi selain daripada itu, untuk industri, secara prinsipnya, kita akan mendapat pengecualian cukai yang agak menarik, dalam bentuk pengurangan cukai yang besar bagi duti eksais, duti import dan cukai jualan EV,” kata Madani.

Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

Berapa jumlah sebenar pengurangan ini masih belum diketahui memandangkan sekarang ini duti eksais bagi EV import sepenuhnya ditetapkan pada 10%, tidak mengira jenama. Berapa banyak unit dan berapa lama tempoh yang diperlukan untuk mendapat insentif ini juga masih belum diketahui.

Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC, atau sebelum ini dikenali sebagai GreenTech) bulan lalu ada mencadangkan beberapa nombor. Dalam Rangka Tindakan Jejak Karbon Rendah, telah didedahkan bahawa pengecualian cukai penuh akan disediakan untuk 10,000 unit kenderaan EV yang diimport sepenuhnya, sehingga tahun 2022. Dari Tahun 2023 hingga 2025, EV CBU akan diberikan pengecualian duti eksais dan import 50%, sebelum pasaran boleh menerima BEV pemasangan tempatan.

Menurut dokumen itu, insentif ini juga akan dirangka dengan mengambil kira model plug-in hybrid (PHEV). Ini termasuklah pengecualian cukai untuk model CKD yang layak, dengan pengecualian 100% diberikan sehingga tahun 2022, 75% dari 2023 hingga 2025 dan 50% dari 2026 ingga 2030.

Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

Kelayakan tertentu juga akan dibuat untuk PHEV, berdasarkan jarak gerak elektrik sekali cas dan tiada pengecasan enjin. Aspek ini ditetapkan pada jarak permulaan 30 km (mengikut NEDC) bagi tahun ini, ditingkatkan kepada 55 km dari tahun 2022 hingga 2024 dan 75 km sekali cas dari 2025 hingga 2027, sebelum ditetapkan pada 100 km dari 2028 hingga 2030.

Perincian selanjutnya hanya akan diketahui apabila polisi ini dibentangkan sepenuhnya. Madani memberitahu, harapnya polisi tersebut dapat dibawa kepada kabinet untuk kelulusan menjelang Jun, sebelum diumumkan pada bulan Julai. Asalnya, polisi tersebut sepatutnya diumumkan suku pertama tahun ini.

“Skip polisi baru ini akan termasuk kenderaan penumpang, skuter, motosikal serta kenderaan komersial. Ia juga akan merangkumi pengeluar kelengkapan asli (OEM), pengeluar EV serta syarikat yang menggunakan EV sebagai satu servis seperti SoCar dan Grab,” kata Madani.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required