BMW X3 dan X4 facelift 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

BMW X3 dan X4 <em>facelift</em> 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

BMW akhirnya memperkenalkan secara rasmi model X3 G01 dan X4 G02 versi facelift, melibatkan kemaskini Life Cycle Impulse (LCI) bagi kedua-duanya. Selain suntikan baru untuk penggayaan, kemaskini terbaru ini turut menyaksikan penambahbaikan terhadap kelengkapan teknologinya.

Dari sudut rekaan, wajah depan baru kedua-dua X3 dan X4 ini menampilkan gril yang sedikit lebih besar, terdiri daripada satu bingkai tunggal krom. Palang hitam di tengahnya yang menempatkan kamera pula memisahkan dua seksyen berkenaan pada gril.

Apron depan juga kini dilengkapi dengan bukaan udara vertikal yang menjadi sebahagian daripada seksyen berbentuk segi tiga pada bamparnya, yang turut menyaksikan rekaan profil baru diberikan pada bahagian bukaan di bawahnya. Lampu depan juga diberi rekaan baru dengan 10 mm lebih rata berbanding sebelumnya.

Lampu berkenaan juga kini LED penuh dan standard bagi X3. Lampu utama LED adaptif dengan fungsi matrix pula datang standard untuk X4 tetapi ditawarkan sebagai pilihan untuk X3. Sementara sistem Laserlight juga ditawarkan dengan kos tambahan. Pakej lampu Shadow Line M juga ada diperkenalkan untuk imej lebih kelam.

BMW X3 dan X4 <em>facelift</em> 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

Bagi X4 pula, ia menerima perincian mesh yang lebih bergaya untuk bahagian depan pada grilnya berbanding palang gril pada X3 — kedua-duanya hadir dengan penyudah satin aluminium (juga pada kemasan tingkap dan landasan bumbung). Di belakang, X3 memperlihatkan perubahan yang lebih banyak, dengan rekaan lampu baru, lampu isyarat melintang dan pembahagi hitam.

Penampilan gelap pada lampu belakang ini turut dilakukan pada X4, dengan kedua-duanya kini mengenakan pemantul yang dialih kedudukannya serta direka baru. Apron belakang antara bahagian yang menerima kemaskini, dengan kemasan muncung ekzos yang lebih besar dan sporty.

Bagi versi pakej M Sport, apron depan khusus dengan bukaan udara lebih besar diberikan. Bampar belakang juga lebih sporty, dengan bahagian diffuser dalam penyudah Dark Shadow dan dua panel tirai udara pada X3. Bagi X4, ia turut libatkan apron belakang yang lebih lebar.

Roda standard dengan pakej M Sport termasuk rim aloi 19-inci Y-Spoke style 887M dalam warna Midnight Grey Bicolor, dan pelanggan boleh juga memilih pakej M High Gloss Shadow untuk mendapatkan kemasan luaran lain dalam warna hitam berkilat.

BMW X3 dan X4 <em>facelift</em> 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

Bagi varian M Performance yang lebih tinggi, gril kidney BMW M yang khusus mengenakan bingkai krom dan palang berkembar dalam warna hitam berkilan dan logo M. Bampar pula sama dengan versi M Sport, tetapi muncung ekzos datang dalam krom hitam. Varian ini juga menerima roda aloi 20-inci “double-spoke” Style 699M, dengan pilihan untuk rim lebih besar 21-inci M style 718M dalam warna Jet Black. Hanya X3 yang turut ditawarkan dengan sistem janaan plug-in hybrid, dan semua unit X3 xDrive30e datang dengan logo BMW biru dan lencana “electrified by i”.

Di dalam, kedua-dua model memanfaatkan konsol tengah dari 4 Series terbaru, sementara bahagian papan pemuka tengahnya daripada 3 Series. Ia menempatkan paparan sistem pendingi serta tombol kawalan di bawah corong pendingin hawa.

Sebagai ciri standard, X3 dan X4 datang dengan sistem Live Cockpit Plus dengan BMW Operating 7 yang merangkumi paparan terapung bersaiz 10.25-inci dan paparan kluster instrumen 5.1-inci. Naik taraf kepada sistem Live Cockpit Professional akan menyaksikan kedua-dua paparan itu digantikan dengan unit 12.3-inci, serta pilihan untuk head-up display juga.

Pemandu boleh memanfaatkan pelbagai ciri capaian dengan adanya kad SIM binaan dalam, termasuklah BMW Maps, kesepaduan telefon pintar (Android Auto dan Apple CarPlay), Amazon Alexa, BMW Intelligent Personal Assistant serta kemaskini cara OTA.

BMW X3 dan X4 <em>facelift</em> 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

Berkenaan sistem janaan pula, X3 dan X4 ditawarkan dalam tiga varian enjin petrol (xDrive20i, xDrive30i, M40i) dan tiga varian enjin diesel (xDrive20d, xDrive30d and M40d). xDrive20i datang dengan enjin 2.0 liter turbocas twin-scroll empat-silinder yang menghasilkan 184 PS (181 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm tork dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 8.4 saat dan laju maksimim 215 km/j.

xDrive30i pula menggunakan konfigurasi enjin yang sama tetapi ditala untuk menghasilkan 245 PS (241 hp) dan 350 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat dan laju maksimum 235 km/j. Varian M Performance M40i pula menggunakan enjin 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris dengan janaan 360 PS (355 hp) dari 5,200 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm dari 1,900 hingga 5,000 rpm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan had laju 250 km/j, dihadkan secara elektronik.

Bagi versi diesel, xDrive20d dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel menghasilkan 190 PS (188 hp) pada 4,000 rpm dan 400 Nm tork dari 1,750 hingga 2,500 rpm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan laju maksimum 213 km/j. Bagi xDrive30d, ia menggunakan unit 3.0 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang menghasilkan 286 PS (282 hp) pada 4,000 rpm dn 650 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 245 km/j.

M40d memberikan prestasi lebih baik dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan laju maksimum 250 km/j, dengan enjin 3.0 liter turbo yang lebih berkuasa dengan janaan 340 PS (335 hp) dan 700 Nm. Semua varian datang dengan sistem pacuan semua roda xDrive dan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan sebagai standard, tetapi varian M Performance menggunakan versi Steptronic Sport.

BMW X3 dan X4 <em>facelift</em> 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

Bukan itu saja, semua enam pilihan enjin ini disertakan dengan teknologi 48-volt mild hybrid, dengan generator penghidup 11 PS untuk membantu pemulihan tenaga, serta sokongan enjin ketika memecut atau melayar. Ini disambungkan kepada bateri 11 Ah yang juga menyokong unit 12-volt, dan bateri 90 Ah untuk sistem auxiliary.

X3 juga boleh didapati dalam versi plug-in hybrid, dengan xDrive30e didasarkan kepada varian xDrive20i. Bagaimanapun, enjin berkenaan didorong juga oleh motor elektrik yang bersepadu dengan transmisi Steptronic dengan kuasa 109 PS dan 265 Nm. Keseluruhan output sistem ialah 292 PS (288 hp) dan 420 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan laju maksimum 210 km/j.

Dengan janaan elektrik sepenuhnya, laju maksimum dihadkan pada 135 km/j dan bateri lithium-ion 12-kWh
membekalkan jarak sehingga 50 km. xDrive30e boleh menggunakan pengecas sehingga 3.7 kW melalui penyambung Type 2, dengan cas penuh dalam masa 2.4 jam.

BMW X3 dan X4 <em>facelift</em> 2021 didedah — G01 dan G02 LCI dengan wajah, enjin mild hybrid, kelengkapan baru

Terakhir, aspek keselamatan. BMW buat pertama kali menawarkan pakej Driving Assistant Professional sebagai pilihan untuk X3 dan X4. Ini merangkumi kawalan melayar aktif dengan fungsi Stop/Go sehingga 210 km/j. Bantuan mengelak hadangan juga mengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal, sementara bantuan henti kecemasan, bantuan panduan stereng/lorong, amaran lintasan trafik depan dan amaran silap jalan adalah antara yang tersedia.

Pakej Parking Assistant juga termasuk dengan bantuan undur sebagai standard, dan dengan Parking Assistant Plus akan didatangkan sekali dengan kamera 360-darjah. Tidak lupa, ada juga BMW Drive Recorder. BMW X3 dan X4 akan dilancarkan dalam pasaran pada musim panas tahun ini, dan akan mula diproduksi di kilang Spartanburg di Amerika Syarikat pada Ogos 2021.

GALERI: BMW X3 xDrive30e G01 LCI

GALERI: BMW X4 M40i G02 LCI

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required