Subaru telah memberi peningkatan kitaran-pertengahan pertama kepada Forester generasi kelima, selepas lebih tiga tahun SUV tersebut membuat penampilan pertama di peringkat global. Pra-tempahan bagi SUV yang dipertingkatkan ini bakal bermula di Jepun pada Ogos 2021, dan pelanggan boleh memilih empat tahap kemasan – Touring, X-Break, Advance dan Sport.

Perubahan gaya yang paling utama dapat dilihat pada bahagian hadapan, di mana Forester kini diberikan lampu utama baharu yang lebih tegak dan bersudut. Setiap kluster menampilkan elemen menghala ke gril yang lebih menonjol, dan mempunyai sisipan baharu di antara bentuk haksagon.

Imej yang menyerlah disumbangkan oleh bampar hadapan yang sedikit menonjol di bawah kluster pencahayaan, sementara seksyen berbentuk empat segi tepat untuk lampu kabus pula menampilkan kepingan baharu di dalamnya – namun varian Sport diberikan rekaan yang tersendiri.

Corong pengambilan yang lebih rendah turut diberikan sedikit perubahan untuk memberikan kesan visual yang lebih ketara, dengan pelindung bampar kini berlapis pada bahagian atas bingkai yang ditempatkan pada dasar bampar. Untuk bahagian belakang, kelihatannya tidak perubahan, masih sama seperti model pre-facelift, dengan lampu belakang berbentuk-C dan apron bawah masih dikekalkan. Sama juga seperti bahagian luaran, dengan bentangan utama bagi alat kawalan dan kelengkapan lain masih dikekalkan, namun terdapat kemasan baharu dan pilihan upholstery, bergantung pada varian.

Untuk enjin, kesemua varian Touring, X-Break dan Advance dipadankan dengan penjana kuasa Subaru e-Boxer hybrid secara standard. Ia digandingkan dengan unit FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder ‘flat’ dengan sistem Symmetrical All-Wheel Drive, dan komponen hibrid ditampilkan dengan motor elektrik bersama Lineartronic CVT.

Menerusi risalah spesifikasinya, enjin boxer ini mampu menghasilkan 145 PS (143 hp) pada 6,000 rpm dan tork 188 Nm pada 4,000 rpm, sementara e-motor pula dengan 13.6 PS (13.4 hp) dan 65 Nm. Kuasa e-motor disalurkan menerusi bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga mencecah 4.8 Ah, dan menyumbang pada penggunaan bahan api sama ada 18.6 km/l (standard JC08) atau. 14 km/l (standard WLTC).

Varian e-Boxer turut menerima penutup gril hadapan aktif dan ciri yang dipanggil e-Active Shift Control, yang menjadi penderia bagi pendikitan dan G force untuk memastikan kelajuan enjin dapat memberikan ‘rasa’ pendikitan yang dipertingkatkan, atau meningkatkan kuasa brek enjin sewaktu menuruni bukit.

Sementara itu, varian Sport pula menjadi varian tunggal didatangkan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder ‘flat’. Dengan unit. CB18, ia tidak menerima sebarang bentuk elektrifikasi, masih sama digunakan seperti pada Levorg dengan output mencecah 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm. Ia turut menggunakan CVT dan AWD yang sama seperti e-Boxer, namun penggunaan bahan api dianggarkan pada kadar 16.5 km/l (standard JC08) atau 13.6 km/l (standard WLTC).

Bagi kelengkapannya, varian Touring dan X-Break didatangkan dengan roda aloi 17-inci, sementara Advance dan Sport digandingkan dengan unit yang lebih besar bersaiz 18-inci. Lain-lain kelengkapan termasuklah X-Mode, lampu utama LED dengan fungsi steering-follow, fabrik atau upholstery kulit, bumbung matahari larasan kuasa.

Kesemua varian turut diberikan ciri standard dengan Subaru EyeSight, dan pengeluar kereta ini berkata, ia turut menawarkan operasi yang diperluaskan dan larasan kamera stereo yang disemak semula untuk pandangan yang lebih. jelas. Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, false start suppression control serta amaran ketibaan lorong.

Lain-lain sistem bantuan yang diberikan secara pilihan termasuklah bantuan stereng pra-pelanggaran kecemasan, pengesan kenderaan belakang, lampu utama adaptif, cermin pandang-belakang pintar dan pemantuan pemanduan.