Honda telah mendedahkan nama untuk kenderaan elektrik pertamanya yang bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat pada awal tahun 2024. Honda Prologue bakal menjadi salah satu daripada dua SUV elektrik-bateri yang pengeluar ini akan perkenalkan di Amerika Utara, di mana satu lagi akan ditawarkan di bawah lambang Acura.

Prologue dan model Acura yang belum diberi nama itu akan menjadi model pertama yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Honda dengan General Motors. Selain nama, tiada perincian lain yang didedahkan, namun Honda berkata info lebih spesifik untuk kenderaan baharu tersebut akan dikeluarkan pada bulan yang akan datang.

Apa yang diketahui kenderaan terbabit dibangunkan dengan platform EV modular keluaran GM dan akan menggunakan teknologi bateri Ultium keluaran Amerika. Walau bagaimana pun, rekaan luaran dan dalaman bagi kedua-dua model berkenaan dilakukan oleh Honda bagi memastikan tahap konsisten untuk semua barisan produknya.

Syarikat ini turut berkata, Prologue, seperti nama yang diberi, akan dielektrifikasikan, sebagai pendahulu bagi pengenalan model EV siri baharu untuk separuh pertama dekad ini. Ia akan menjadi asas untuk platform EV modular global e:Architecture baharu, yang dijangka akan digunakan untuk beberapa model dengan bentuk badan dari crossover hingga ke sedan. Kemudian model ini juga akan memasuki pasaran lain secara lebih meluas di seluruh dunia.

Dengan Prologue yang bakal diperkenalkan, Honda berkata mereka akan terus memperkenalkan sistem hibrid hingga ke lebih banyak model teras sebagai kaedah untuk mendekatkan pelanggan ke peralihan yang tidak dapat dielakkan. “Kami tahu pelanggan yang mempunyai pengalaman baik dengan kenderaan hibrid akan cenderung membeli kenderaan elektrik-bateri pada masa depan. Strategi kami akan memfokuskan untuk memperkenalkan peratusan hibrid yang lebih tinggi dalam model teras untuk masa terdekat ini, sesuai dengan pengenalan Prologue,” ujar Dave Gardner, timbalan presiden eksekutif Honda Amerika.

Pada April lalu, CEO dan presiden baharu Honda, Toshihiro Mibe berkata syarikat ini merancang untuk meningkatkan pengeluaran model EV dan kenderaan elektrik janaan-sel (FCV) ke 40% dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan China menjelang tahun 2030. Kemudian ia akan dipertingkatkan ke 80% menjelang 2035, dan 100% di peringkat global menjelang 2040.