UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan arah tuju syarikat untuk nuetraliti karbon, yang melibatkan usaha pengeluaran kenderaan hibrid secara massa atau meluas di Malaysia. Usaha ini adalah lanjutan daripada komitmen global syarikat induk Toyota untuk menyediakan “mobiliti untuk semua” untuk menzahirkan “kegembiraan untuk semua” melalui komitmennya ke arah “Masyarakat yang bersih dan selamat.”

Dalam mencapai perkara ini, Toyota Motor Corp telah menetapkan sasaran untuk neutraliti karbon menjelang tahun 2050, dalam cara yang praktikal dan mapan. Sebahagian daripada rancangannya adalah untuk mengeluarkan barisan lengkap kenderaan dengan emisi rendah melalui elektrifikasi yang akan memenuhi permintaan yang pelbagai di seluruh dunia.

Selain kenderaan, banyak lagi usaha yang sedang dirancang untuk mengurangkan emisi karbon dan menangani kesan pembebasan CO2 dalam semua proses kitaran hayat pengilangan, pengangkutan, operasi, bahan api dan/atau pengecasan serta kitar semula pelupusan kenderaan. Semua ini merupakan usaha di peringkat global yang ditetapkan oleh Toyota.

“Arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050. Ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Ini merupakan waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia, dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini. Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota,” tambahnya.

Untuk itu, UMWT akan menambah pelaburan sebanyak RM270 juta bagi tujuan memperluas operasi pengeluaran dan fasiliti sedia ada. Jumlah ini juga termasuk antara lain ialah pengenalan barisan kenderaan kenderaan hibrid elektrik HEV generasi baru dengan teknologi termaju.

“Kami bersedia (dengan pengenalan barisan kenderaan HEV) dan teknologi berkaitan; sokongan servis, prasarana semasa; dasar global dan domestik; tahap mampu milik dan keberkesanan kos; serta kesedaran serta permintaan pelanggan, terutamanya di Malaysia, yang kini berada di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baru yang menarik ke arah mencapai neutraliti karbon ini,” jelas Takeyama.

“HEV Toyota sedang berada di tahap paling maju ketika ini, dan mempersembahkan dirinya sebagai penyelesaian paling realistik, segera, ekonomikal dan praktikal bagi pengeluaran pasaran dan jualan massa dari segi pengurangan pembebasan CO2, kemudahan penggunaan dan penerima harga oleh pelanggan,” tambahnya.

Dengan matlamat untuk menjadi pelopor usaha neutraliti karbon di Malaysia, pelaburan baru UMW Toyota Motor ini adalah tambahan kepada pelaburan terdahulu bernilai RM2 bilion yang digunakan untuk pembinaan kilang di Bukit Raja. Dianggap sebagai sebuah kilang Toyota paling moden dan termaju serta cekap di Asia, kemudahan di Bukit Raja menjadi pendahulu selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

Jejak sekitar kilang berkenaan termasuk pemasangan panel solar 2MW serta kemampuannya untuk mengumpul dan mengitar semula 156 kubik meter air hujan. Ia juga mendahului dengan menampilkan pembebasan terendah bagi sebatian oraganik meruap (Volatile Oraganik Compound) di Asia dengan pemasangan pengoksida suhu regeneratif (Regenerative Thermal Oxidiser).

Toyota merupakan pelopor utama teknologi kenderaan hibrid elektrik dan telah memajukan lagi teknologi berkenaan dalam tempoh 20 tahun terakhir ini. Setakat hari ini, Toyota telah menjual sebanyak 17 juta kenderaan hibrid elektrik (HEV); kenderaan hibrid elektrik plug-in (PHEV), kenderaan bateri-elektrik (BEV) serta kenderaan elektrik fuel-cell hidrogen (FCEV) di seluruh dunia. Sumbangan terkumpul Toyota untuk pengurangan CO2 adalah bersamaan dengan 17 juta kenderaan yang telah membawa kepada pengurangan 140 juta CO2 atau sekitar 1.5 juta kenderaan penumpang konvensioanal setahun bagi tempoh 20 tahun.

“Pengenalan teknologi hibrid elektrik akan dengan segera mengubah landskap automotif di Malaysia, untuk warganya. Kami berharap bahawa usaha untuk mempopularkan teknologi masa depan ini melalui pengenalan massa HEV akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan dalam usaha untuk mencapai skala penuh penggunaan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi. Kami berharap kerajaan akan turut mempertimbangkan usaha UMW Toyota Motor untuk disertakan ke dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon Nasional berserta kenderaan bateri-elektriknya yang selari dengan perancangan kerajaan,” ujar Presiden UMWT Toyota, Ravindran K.