Ketika memperkenalkan Jeep Grand Cherokee generasi kelima pada awal Januari lalu, pengeluar automotif itu berkata, ia mungkin akan menambah varian plug-in hybrid dalam barisannya. Dalam acara Stellantis EV Day 2021, pengeluar automotif itu telah pun menunjukkan Grand Cherokee 4xe buat pertama kalinya.

Walau bagaimana pun, Jeep tidak mendedahkan secara spesifik mengenai penjana kuasanya, namun dikatakan ia akan didedahkan apabila SUV elektrifikasi ini didedahkan secara rasmi di New York International Auto Show 2021 yang bakal berlangsung pada akhir Ogos ini.

Kemungkinan juga Grand Cherokee 4xe ini berkongsi penjana kuasa PHEV yang sama dengan Wrangler 4xe. Sistem ini adalah hasil kombinasi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan dua motor elektrik, menghamburkan kuasa pada 375 PS pada 5,250 rpm dan tork 637 Nm. Output ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan TorqueFlite sumber-ZF.

Jeep turut mempunyai satu lagi sistem plug-in hybrid yang menggunakan unit enjin lebih kecil 1.3 liter turbo-petrol (output kombinasi 240 PS), yang digunakan pada Renegade dan Compass 4xe.

Enjin lain yang turut menjana SUV perdana ini termasuklah unit naturally-aspirated 3.6 liter Petastar petrol V6 dengan 290 PS dan 348 Nm, serta 5.7 liter petrol V8 dengan 357 PS dan 528 Nm. Kedua-dua penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Varian V6 bakal menerima electronically controlled full time active 4WD transfer case kelajuan-tunggal secara standard, dan ia boleh dinaiktaraf dengan electronically controlled transfer case dua-kelajuan dengan jarak rendah. Gandar hadapan pada model 4WD akan diputuskan sambungan secara automatik bagi meningkatkan penjimatan bahan api ketika sedang dipacu, sementara varian V8 pula turut diberi pilihan electronic limited-slip rear differential.