MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

Selepas hampir sebulan setengah Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berlangsung seluruh negara bermula 1 Jun lalu kerana angka jangkitan wabak Covid-19 yang meningkat, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membuat rayuan agar kerajaan membenarkan sektor automotif negara beroperasi semula di negeri-negeri yang masih berada Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut MAA, industri automotif negara sangat bergantung kepada pasaran domestik, jadi dengan penghentian operasi produksi dan juga pengedaran produk automotif (yang dirancang akan bermula semula pada Fasa 2 PPN) dan juga jualan kenderaan akan mendatangkan implikasi yang besar kepada seluruh ekosistem automotif negara.

Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad menyatakan bahawa keseluruhan rantaian pembekalan dalam sektor automotif telah terjejas teruk, khususnya dengan penutupan sepenuhnya operasi di negeri-negeri dalam Perintah Pergerakan Diperketat (PKPD) seperti di Selangor dan Kuala Lumpur. “Maklum balas yang diterima dari banyak ahli kami menunjukkan operasi perniagaan walaupun di negeri bukan PKPD kini terjejas kerana ganguan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

Persatuan berkenaan menyatakan bahawa kesan dari pemberhentian operasi kilang automotif, bengkel dan pusat pengedaran alat ganti di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberikan kesan yang sangat serius. MAA juga menegaskan bahawa semakin lama operasi dihentikan, semakin besar impak yang akan ditimbulkan pada industri automotif dan negara.

Menurut MAA lagi, sementara syarikat-syarikat mungkin terkesan dari kehilangan pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan pelbagai perniagaan, kerajaan juga akan kerugian dalam aspek mengutip duti eksais, duti import, cukai jualan dan cukai jalan kenderaan bermotor yang lebih rendah.

Tambahnya lagi, Selangor dan Kuala Lumpur mewakili hampir 50% jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia setahun, kerana banyak syarikat-syarikat automotif utama untuk produksi kenderaan dan komponen terletak di dua negeri ini. Malah, terdapat ahli MAA yang hanya mempunyai satu-satunya pusat atau pusat pengedaran utama (untuk kenderaan dan alat ganti) yang terletak di Selangor dan KL.

Oleh itu, persatuan berkenaan merayu agar kerajaan membenarkan sektor automotif seperti bengkel dan pusat pengedaran untuk kenderaan penumpang/komersil dan juga perniagaan alat ganti untuk beroperasi semula segera, dengan mengambil kira kapasiti tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di negeri-negeri di bawah PKPD serta negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 PPN.

MAA turut menyebut bahawa pembukaan semula bengkel automotif dan pusat alat ganti di negeri-negeri PKPD adalah sesuatu yang perlu dibuat segera, kerana dengan penutupan yang berterusan akan menyebabkan kesukaran besar kepada semua pengguna, dalam masa yang sama mungkin akan membahayakan keselamatan mereka yang terus menggunakan kenderaan yang rosak atas jalan raya kerana tiada bengkel dan pusat alat ganti yang dibuka, sekaligus turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Persatuan tersebut juga memohon agar kerajaan membuka pelabuhan dua atau tiga hari seminggu bagi proses menerima dan menyimpan kargo bagi sektor automotif agar tidak berlaku kesesakan, sama seperti yang dipraktikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required