Kalle Rovanpera pemenang WRC paling muda dalam sejarah, menang Rali Estonia pada umur 20 tahun

Kalle Rovanpera pemenang WRC paling muda dalam sejarah, menang Rali Estonia pada umur 20 tahun

Kalle Rovanpera (FIN) Jonne Halttunen (FIN) of team Toyota Gazoo Racing celebrate on the podium in first place after winning the World Rally Championship in Tartu, Estonia on 18.07.2021 with Craig Breen (IRL) Paul Nagle (IRL) of team Hyundai Shell Mobis second place and Thierry Neuville (BEL) and Martijn Wydaeghe (BEL) of team Hyundai Shell Mobis third place // Jaanus Ree/Red Bull Content Pool // SI202107180115 // Usage for editorial use only //

Kalle Rovanpera bukan sahaja mencatatkan rekod peribadinya untuk memenangi rali pertamanya dalam ketegori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) di Rali Estonia semalam, malah bintang muda yang baru berusia 20 tahun dan memandu untuk pasukan Toyota Gazoo Racing berkenaan telah mencatatkan satu rekod dunia iaitu pemenang WRC paling muda dalam sejarah!

Rovanpera yang berasal dari Finland tetapi kini tinggal di Estonia boleh dikatakan mendominasi hampir keseluruhan Rali Estonia hujung minggu lalu. Dia mengambil tempat pendahulu rali selepas bintang tempatan dan juara WRC 2019, Ott Tanak yang terpaksa menamatkan cabaran hari pertama apabila tayarnya pecah pada SS ke-3, dan kemudian kemalangan di SS ke-4 yang menyebabkan kerosakan pada suspensi hadapan.

Kedudukan Rovanpera kekal sehingga ke garis penamat pada SS ke-24 dengan kelebihan 59.9 saat di hadapan pemandu Itali, Craig Breen dari pasukan Hyundai Motorsport. Seorang lagi pemandu Hyundai, Thierry Neuville melengkapkan podium ketiga dengan catatan masa 1 minit 12.4 saat di belakang Rovanpera.

“Ini merupakan musim yang sukar dan ia sangat manis untuk mengecapi kemenangan pertama saya di Estonia. Ia hampir seperti rali di kampung halaman untuk saya buat masa sekarang dan ramai peminat Estonia menyokong saya,” kata Rovanpera.

“Keputusan yang kami capai tak pernah begitu baik, tetapi kami buktikan rentak memang ada dan hari ini kami bawanya pulang. Untuk menjadi pemenang paling muda adalah menakjubkan. Ia mungkin boleh dicapai lebih awal, tetapi ia di sini sekarang,” tambahnya lagi.

Apa yang menarik, Rovanpera telah memadam rekod pemandu paling muda memenangi WRC yang dibuat oleh bos pasukannya sekarang, Jari-Matti Latvala pada 2008 pada usia 23 tahun. Menerusi kemenangan ini juga, rekod Kalle Rovanpera telah menyamai rekod ayahnya sendiri, Harri Rovanpera yang memenangi Rali Sweden 2001, iaitu satu-satunya pusingan WRC yang dimenangi sepanjang kariernya.

Kalle Rovanpera mula mendapat perhatian dalam dunia rali ketika masih berumur lapan-tahun, dilihat begitu mahir memandu jentera rali pacuan belakang Toyota Starlet. Dia berjaya bergelar juara kelas R2 dalam Kejohanan Rali Latvia ketika berumur 15 tahun.

Rovanpera kemudiannya beralih ke kelas lebih tertinggi pada kejohanan rali nasional berkenaan dan berjaya bergelar juara kategori terbuka dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017. Dia kemudiannya dilamar oleh pasukan Skoda untuk bertarung dalam WRC dalam kategori WRC2 Pro, dan bergelar juara pada tahun 2019.

Ini menyebabkan Tommi Makinen yang ketika itu menyandang tugas sebagai prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing tidak menunggu lama untuk melamar Rovanpera untuk menyertai pasukannya, melengkapkan barisan pemandu pasukan tersebut bersama Elfyn Evans dan Sebastien Ogier bermula pada musim 2020.

Dengan kemenangan pada Rali Estonia ini, Kalle Rovanpera kini berada di tempat ke-empat keseluruhan WRC musim 2021 dengan 82 mata. Sebastien Ogier yang hanya menamatkan rali tersebut pada kedudukan ke-empat semalam kini masih pendahulu kejuaraan dengan 148 mata, diikuti Elfyn Evans (111 mata) dan Thierry Neuville (96 mata). Rali Estonia merupakan pusingan ke-7 WRC 2021 dari 12 pusingan keseluruhan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required