Biar pun kemelut politik di negara ini kian panas, namun jangan pula lupa dengan perkembangan semasa yang melibatkan projek infrastruktur bagi kemudahan rakyat. Terkini, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak sudah mencapai 69.6% siap.
Menurut beliau, walaupun berdasarkan kontrak, tarikh siap sepenuhnya LPB Sarawak disasarkan pada September 2022 namun berikutan pelbagai kekangan, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19, kelewatan tidak dapat dielakkan, laporan Bernama.
“Kita hadapi kekangan seperti masalah rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan binaan serta isu kekurangan pekerja kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Cabaran pematuhan SOP yang berbeza di lokaliti setiap bahagian di Sarawak yang dirangka khusus juga menjadi antara kekangan, kelewatan penyiapan projek sememangnya tidak akan dapat dielakkan,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata pada masa sama pihak pemaju projek juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerja ketika pandemik.
Tambahnya, “Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan peruntukan projek infrastruktur utama negara ini mencukupi selain bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak. Apabila LPB siap nanti, rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisien serta peluang untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di sektor pembinaan.”