Honda telah melancarkan CR-V Black Edition di Thailand, dan berharga 1,467,000 baht (RM188k). Ia ditawarkan dengan enjin tunggal 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder DOHC i-VTEC, dengan hamburan kuasa 173 PS pada 6,200 rpm dan tork 224 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi CVT, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

Mengenai aspek rekaannya, Black Edition ditawarkan secara eksklusif dalam warna Crystal Black Pearl, sementara rel bumbung, gril radiator, kemasan bampar bawah, dan roda 17-inci dengan rona hitam pekat. Honda berkata, ini merupakan pertama kali CR-V dipadankan dengan rel bumbung hitam. Malah terdapat juga lencana Black Edition pada tailgate.

Bahagian kabinnya juga diberikan rona hitam. Konsol tengah menerima kombinasi kemasan kayuan hitam dan piano black, sementara tempat duduk kulit dengan perkataan Black Edition untuk tempat duduk hadapan, selain turut menampilkan bumbung kaca panoramik larasan elektrik bersaiz-penuh, alas pengecasan telefon pintar tanpa wayar. Selain itu, ia turut diberikan sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay.

Namun sayangnya, CR-V Black Edition tidak diberikan Honda Sensing. Ia hanya diberikan pada varian turbodiesel, yang ditawarkan dengan harga 1,759,000 baht (RM225k). Sebagai ganti, ia menerima Honda LaneWatch, bantuan menahan brek auto, pemantauan perhatian pemandu, kunci automatik walk away dan brek parkir elektrik.

Menurut Honda Thailand, CR-V menguasai segmen L-SUV, dengan perkongsian pasaran melebihi 60% (bagi separuh pertama 2021). Dengan pengenalan model Black Edition, ditambah pula dengan promosi yang berterusan mampu membantu mengekalkannya di kedudukan tertinggi bagi tempoh yang berbaki tahun ini.