22YM HONDA CBR500R

Barisan model CB500 keluaran Honda, yang terdiri daripada CBR500R, CB500F dan CB500X diperbaharui tahun ini dengan muncul sebagai model tahun 2022 di Eropah terlebih dahulu. Peningkatan yang dibuat lebih kepada kualiti tunggangan sementara binaan asas masih lagi sama seperti sebelum ini.

Penggerak utama juga tidak berubah, di mana ketiga-tiganya masih lagi menggunakan unit dua silinder 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, untuk menghasilkan kuasa maksimum 49.75 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Tetapan sistem suntikan bahan api PGM-Fi pada model ini bagaimanapun telah dilaras semula dan menepati tahap emisi Euro 5.

Peningkatan ketara pada barisan model CB500 2022 ini adalah suspensi, di mana kesemuanya mendapat unit fork Showa SFF-BP USD 41 mm dengan pelarasan pra beban sementara di belakang pula ia menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban lima tahap.

Walaupun ia adalah unit yang sama, jarak dari tanah dan tinggi tempat duduk semua tiga model ini adalah berbeza, iaitu 130 mm/785 mm untuk CBR500R, 145 mm/789 mm untuk CB500F dan 180 mm/830 mm untuk CB500X.

Turut dipertingkat pada semua model CB500 ini adalah cakera pada sistem brek hadapan, di mana ia kini menggunakan set berkembar 296 mm, yang dipadankan bersama angkup dua piston daripada Nissin. Peningkatan bahagian casis kemudiannya dijadikan lengkap dengan penggunaan lengan ayun serta rim yang lebih ringan.

Berat keseluruhan motosikal ini adalah masing-masing 199 kg untuk CB500X, 189 kg untuk CB500F dan 192 kg untuk CBR500R. Kelengkapan lain yang didatangkan terus adalah termasuk panel instrumen digital, lampu depan dan belakang LED, brek ABS two-channel, rim 17 inci (19 inci di hadapan untuk CB500X) dan tangki bahan api 17.1 liter (17.5 liter untuk CB500X).

GALERI: Honda CBR500R 2022

GALERI: Honda CB500F 2022

GALERI: Honda CBR00X 2022