Chery Tiggo 7 di Beijing Motor Show 2016

Jenama China, Chery, bakal kembali ke pasaran Indonesia pada suku ke-empat tahun ini, perkhabaran yang disahkan oleh pengarah pemasaran Chery Motors, Qin Gang, kepada Detik Oto.

Operasi pengeluar kereta berkenaan di Indonesia juga adalah termasuk dengan pemasangan tempatan bagi kenderaannya di masa hadapan, selain memfokuskan pembangunan rangkaian pengedaran termasuk 3S (jualan, servis dan alat ganti). Ibu pejabat Chery di China juga komited untuk melabur dalam operasi di Indonesia, dan pengendali jenama ini akan ditubuhkan bagi mewujudkan rangkaian pengedaran di negara tersebut, kata pengarah pemasarannya.

Menurut laporan yang dikeluarkan Detik Oto, Chery akan menubuhkan pasukan pembangunan dan penyelidikan di Indonesia bagi pasaran Asia. Sementara itu, laman Instagram rasmi Chery Motors Indonesia pula telah memuat naik imej teaser bagi Tiggo 7 Pro, di mana ia adalah model semakan komprehensif bagi Tiggo 7 yang dipertontonkan di Beijing Motor Show 2016.

Berita mengenai kembalinya Chery ke pasaran Indonesia turut disahkan oleh persatuan automotif berkenaan. Di mana Chery akan kembali menyertai Gaikindo, persatuan automotif di Indonesia, dan telah menunjukkan minat untuk mengendalikan pemasangan tempatan bagi kenderaan mereka, ujar setiausaha agong Gaikindo, Kukuh Kumara, kepada Autonetmagz.

Ini menunjukkan usaha Chery untuk kembali ke pasaran rantau Asia, selepas jenama ini tidak lagi menganggotai Gaikindo sejak tahun 2016. Data jualan dari Gaikindo yang dilihat oleh Detik Oto mendedahkan Chery menjual 269 unit pada tahun pertamanya di Indonedia, kemudian meningkat ke 759 unit pada tahun keduanya.

Puncak jualan Chery mencecah 859 unit pada tahun ketiganya di Indonesia, dan kemudian menyusut pada 407 unit pada tahun 2009, dan kemudian terjual sebanyak 528 unit pada 2010. Kemudian jualan Chery di Indonesia terus menurun dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, dan tiada kenderaan Chery yang terjual di antara tahun 2013 dan 2015, sebelum dibatalkan pendaftarannya dari menganggotai Gaikindo setahun selepas itu.