Mula ditunjuk sebagai sebuah model konsep pada tahun 2019, Aprilia Tuareg 660 akhirnya didedah pada bulan lalu. Walaubagaimanapun, hanya sedikit perincian diberi, bersama gambar statik, sementara penampilan rasminya akan dibuat waktu pameran EICMA hujung tahun ini.

Tapi sebelum itu, satu lagi teaser disiar, dan kali ini menunjukkan video motosikal adventure kelas pertengahan tersebut dibelasah atas jalan offroad. Kemampuan sebenar Tuareg 660 ditunjuk dengan aksi-aksi seperti meluncur laju, mendaki jalan berbatu dan juga melompat ke udara.

Semua ini dapat dilakukan dengan model versi standard, yang diberi dengan suspensi panjang (jarak gerak 240 mm depan dan belakang), rim 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan berat keseluruhan 187 kg.

Meskipun ini adalah jentera lasak – dipanggil oleh Aprilia sebagai sebuah motosikal untuk memuaskan kehendak mereka yang suka meneroka – ia masih dipasang dengan ciri yang dapat memberikan kemudahan kepada pengguna seperti cruise control, skrin TFT 5.0 inci, mod tunggangan serta kawalan cengkaman.

Perincian lain yang sudah diketahui untuk Tuareg 660 adalah termasuk tetapan brek Brembo berkembar di hadapan, ABS dan traction control yang boleh ditutup, tangki bahan api 18 liter dan paling penting, enjin dua silinder selari 660 cc berkuasa 80 hp.