Bagi mengurangkan kenderaan di sekitar ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggalakkan kakitangannya menggunakan pengangkutan awam. Malah inisiatif ini adalah bagi menyokong usaha ke arah bandar rendah karbon.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, usaha tersebut akan menjadikan udara di bandar lebih bersih dan masyarakat selesa serta selamat, selain membantu meningkatkan taraf kesihatan, laporan Bernama.
“Sebagai permulaan, kita memberi insentif kad perjalanan My30 bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad pada awal bulan ini. Kita juga sedang mengkaji untuk melarang warga kerja kita daripada membawa kenderaan ke pejabat pada setiap Jumaat sebagai inisiatif mengamalkan gaya hidup rendah karbon,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara ini selepas pelancaran Kuala Lumpur Sustainable Development Goals (SDG) Centre yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tambah Mahadi lagi, DBKL juga bercadang membangunkan ladang solar di beberapa tasik di ibu negara bagi menggantikan penggunaan tenaga fosil.
“Kita berharap segala usaha ini dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang lestari kepada masyarakat dan alam sekitar bertepatan dengan matlamat SDG,” katanya.
SDG Centre adalah sebuah pusat interaktif yang menghimpunkan semua inisiatif dan komitmen pelaksanaan 17 Matlamat Pembangunan Mampan oleh Kuala Lumpur.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.