Mercedes-Benz telah mengumumkan perancangan untuk membuka pusat logistik selepas jualan serantau di Malaysia. Pengeluar kenderaan itu telah pun menandatangani perjanjian pajakan jangka panjang untuk lokasi, yang berhampiran dengan Bandar Lapangan Terbang Senai di Johor. Operasinya dijangka bermula pada awal 204.

Bagi pembangunan untuk bangunan baharu, pengeluar kereta premium dari Jerman itu telah mendapatkan rakan kerjasama iaitu Tiong Nam Logistics Solutions, yang akan membangunkan lokasi seluas 1,000,000 kaki persegi, serta turut bertindak sebagai pemilik gudang baharu itu. Syarikat yang baru ditubuhkan – Mercedes Benz Parts Logistics Asia Pacific (Malaysia) Sdn Bhd, yang dimiliki 100% oleh Mercedes-Benz AG – akan mengendalikan fasiliti berkenaan.

“Dengan pusat logistik selepas jualan ini yang dirancang ini, Mercedes-Benz komited dan akan terus melabur untuk memperkukuhkan kedudukan kami di Malaysia. Kami menerima sokongan yang terbaik dalam kerjasama dengan MIDA dn kementerian yang terbabit. Dengan lokasi strategik di Johor Bahru, pusat baharu ini membolehkan kami untuk memperkukukhkan kembali kedudukan kami sebagai hab pengedaran global dan serantau, sambil mewujudkan peluang pekerjaan baharu di rantai ini,” kata Thomas Schulz, timbalan presiden bagi operasi alat ganti dan servis global.

Tambahnya lagi, “Pastinya pelanggan dan rangkaian pengedaran kami akan dapat menikmati perkhidmatan yang terbaik dengan standard yang berkualiti tinggi dengan adanya infrastruktur baharu ini.”

Pusat pengedaran baharu ini juga akan menjadi sebahagian daripada rangkaian rantaian pembekal selepas jualan untuk global bagi Daimler AG dan ia juga akan berkhidmat sebagai lokasi pengedaran bagi alat ganti di rantau Asia Pasifik dan lain-lain negara. Di mana ia akan mengendalikan pengimportan, penyimpanan dan pengurusan wilayah alat ganti dan aksesori.