GoKL City Bus akan mula guna bas elektrik buatan Malaysia 1 Nov ini, ganti semua bas diesel pada 2023

GoKL City Bus akan mula guna bas elektrik buatan Malaysia 1 Nov ini, ganti semua bas diesel pada 2023

Dalam usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon, perkhidmatan bas percuma GoKL City Bus yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sudah bersedia untuk beralih kepada elektrifikasi. Bermula 1 November, perkhidmatan itu akan mula menggunakan bas elektrik, dan unit pertama akan memulakan operasi di kawasan Wangsa Maju.

Kemudiannya, ia akan diikuti oleh beberapa unit lagi bas elektrik pada awal tahun 2022, sebelum melengkapkan kesemuanya menjadi 60 unit. Mengikut perancangan, semua bas yang digerakkan oleh enjin diesel sekarang akan digantikan dengan bas elektrik menjelang awal tahun 2023.

Selari dengan peralihan ini, penampilan bas itu juga ditukar kepada hijau. Semasa pelancaran bas elektrik itu, menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mengumumkan dua lagi laluan baru yang ditambah bagi perkhidmatan itu, bermula 1 November.

Ia dipanggil sebagai Parrot Green Line, iaitu laluan sepanjang 13.8 km dari Hab Transit MRT Maluri ke Bandar Sri Permaisuri, dan Gray Line, laluan sepanjang 16.7 km dari terminat MRT Cochrane ke Bandar Tun Razak. Laluan baru ini menyertai sembilan lagi laluan sedia ada sekarang.

Bas elektrik yang digunakan oleh GoKL City Bus dibuat di Malaysia oleh SKS Coachbuilders. Penggerak utama serta komponen elektriknya diimport dari China, sementara binaan bas itu sendiri dibuat sepenuhnya oleh syarikat tersebut di Kampung Pulau Meranti, Puchong.

Ia boleh membawa 31 penumpang (21 duduk dan 10 berdiri), dan mempunyai kelajuan maksimum 70 km/j, tetapi kelajuan optimal adalah dalam sekitar 55-60 km/j. Pek bateri lithium ion yang terletak di bahagian belakang bas menyediakan kapasiti 299 kWh dan setelah dicas penuh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 250 km.

Tempoh mengecas yang diberitahu adalah sekitar 1.5 jam apabila bateri tersebut masih mempunyai baki 40% kuasa, sementara jika kuasanya lebih rendah, ia boleh mengambil masa sehingga tiga jam. Disebabkan barang yang digunakan untuk bas ini diimport dari China, sistem pengecasnya juga menggunakan sambungan GB/T Type 2 yang sebenarnya adalah khas untuk negara itu.

Menurut SKS yang akan mengendali dan menyelenggaran bas elektrik ini, proses mengecas biasa akan dijalankan pada waktu malam di depoh mereka yang akan diletakkan di tempat strategik dalam bandar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required