Kerajaan telah memperkenalkan Skim MyezyCover buat 1.7 juta penjawat awam terutama daripada golongan B40 untuk membeli atau memperbaharui takaful (insurans) kenderaan mereka secara ansuran tanpa sebarang faedah.

Perkara ini telah pun diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan yang berkata, skim patuh syariah itu dilaksanakan dengan pembiayaian RM100 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) dan A Tech Insure Sdn Bhd (ATECH), laporan Astro Awani.

“Pada peringkat awal ini, program disasarkan kepada penjawat awam khasnya B40 sebelum diperluaskan kepada golongan pesara (kerajaan) dan syarikat swasta yang mana mereka boleh membeli insurans (takaful kenderaan) secara ansuran sama ada setiap bulan, setiap tiga atau empat bulan atau sekali gus.

“Apabila mereka buat pembayaran sekali gus, mereka akan dapat 10% diskaun dengan pembayaran adalah menerusi potongan gaji oleh Angkasa,” katanya.

Saravanan berkata, langkah ini diambil kerana kerajaan menyedari terdapat penjawat awam khususnya daripada golongan B40 berdepan dengan kedudukan kewangan yang sekadar “cukup-cukup” untuk membeli takaful kenderaan mereka.

“Keadaan ini menyebabkan ada daripada mereka terpaksa menunggu sehingga mendapat gaji untuk membeli takaful kenderaan sekiranya tempoh takaful kenderaan itu tamat pada pertengahan bulan. Ada juga kumpulan-kumpulan ini memiliki road tax dan insurans kerana meminjam Ah Long (peminjam wang tidak berlesen) selain melalui koperasi dan menggunakan kad kredit.

“Jadi melihat pada kerugian aliran tunai melalui pinjaman ini, saya berbincang dengan syarikat sektor insurans dan diberitahu mereka tiada halangan untuk berikan ansuran selagi ada pihak ketiga boleh bayarkan dahulu. Jadi saya telah berbincang dengan Perkeso dan pihak lain kemudiannya untuk menyertai program sebagai pelabur,” katanya.

Menerusi skim ini, penjawat awam terbabit boleh membuat bayaran ansuran serendah RM50 sebulan, dan dalam masa yang sama mereka dapat menguruskan pegangan tunai untuk digunakan pada perbelanjaan lain.