Moto Guzzi kini kembali dengan model sports apabila memperkenalkan V100 Mandelli di pameran EICMA. Model ini juga membawa lebih banyak kelengkapan canggih kepada motosikal retro jenama itu, termasuk suspensi semi aktif, quickshifter, Cornering ABS serta sistem penyejukan cecair.
Moto Guzzi memanggil V100 Mandello ini sebagai “asas untuk membina masa hadapan”, dan dikatakan sebagai motosikal pertama yang mempunyai ciri aerodinamik adaptif. Penghadang angin di bahagian hadapan tangki V100 ini boleh naik dan turun mengikut kelajuan serta mod tunggangan, sekaligus memberikan lebih perlindungan udara kepada penunggang.
Kuasa penggerak pula datang daripada enjin v-twin melintang 1,042 cc DOHC, yang mampu menghasilkan 115 hp dan 105 Nm tork. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang menggunakan sistem syaf.
Penggunaan pendikit ride-by-wire, ECU Marelli 11MP dan IMU six axis menghasilkan tiga pemetaan enjin, empat tahap Traction Control serta empat mod tunggangan yang boleh dipilih untuk penunggang. Suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0 dipasang pada motosikal ini, dan ia boleh melaras sendiri mengikut keadaan jalan serta cara tunggangan.
V100 Mandello direkan lebih ke arah touring, dan disebabkan itu, ia menyediakan posisi tunggangan lebih santai dengan tempat duduk gebu, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektrik.
Ada dua versi V100 Mandello yang ditawarkan untuk pasaran, dengan yang lebih tinggi mendapat suspensi Ohlins, quickshifter, pemanas tangan dan perisian Moto Guzzi MIA yang membenarkan sambungan kepada telefon bimbit untuk operasi pelbagai fungsi dan dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci di bahagian kokpit. Turut disediakan adalah beg barangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.