Selepas Nissan membentangkan strategi Ambition 2030, cabang jenama mewahnya iaitu Infiniti pula menunjukkan bagaimana visi serta pandangan mereka terhadap masa hadapan. Sama seperti Nissan, Infiniti juga tidak akan pergi ke arah elektrik secara penuh dan kebanyakan kenderaannya cuma akan diberi tambahan kuasa elektrik menjelang 2030.
Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Infiniti, tertulis “kami tidak akan membiarkan saiz bateri yang digunakan menjadi definisi untuk kami, tetapi mahu memberi kuasa kepada pelanggan untuk memilih sumber kuasa yang padan dengan gaya hidup mereka.”
Pengerusi Infiniti, Peyman Kargar pula berkata, “hari ini, kami mengumumkan bahawa bukan sahaja hampir semua kenderaan yang kami jual menjelang 2030 akan dielektrifikasi, tetapi kenderaan itu juga akan menunjukkan langkah unik yang kami ambil kepada kenderaan mewah moden Jepun.”
Tiada model spesifik yang dinyatakan, tetapi kita dapat melihat gambar gelap kenderaan konsep yang terduduk rendah. Kereta misteri ini juga mempunyai lampu hadapan dan belakang yang memenuhi sepanjang lebar kereta dan datang dengan logo Infiniti yang menyala di tengah.
Kenderaan itu juga muncul sekali lagi dalam video, dan memberikan kita pandangan yang lebih baik kepada bentuknya yang melengkung dan nipis. Dua lagi model konsep juga dapat dilihat dalam video ini, termasuk sebuah crossover dan sebuah sedan fastback kecil.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.