Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

Walaupun dilihat lebih berminat terhadap teknologi hibrid dan hidrogen dalam misi neutral karbonnya, Toyota tidak meninggalkan terus pembangunan kereta elektrik penuh. Gergasi automotif Jepun tersebut telah pun mendedahkan model konsep EV Toyota bZ4X pada April lalu, di mana ia akan mula diproduksi secara massa dan masuk ke pelbagai pasaran bermula tahun hadapan.

Bukan itu sahaja, malah ia akan diikuti oleh enam lagi model EV bZ (beyond Zero) lain yang akan dilancarkan menjelang 2025. Pelbagai maklumat berkenaan model bZ4X telah didedahkan sebelum ini, namun perincian-perincian lebih spesifik berkenaan model-model elektrik penuh Toyota yang lain masih belum didedahkan.

Walau bagaimanapun, dalam satu temuramah bersama Green Car Reports, naib presiden kumpulan perancang produk dan strategi Toyota Motor North America (TMNA), Cooper Ericksen ada mendedahkan halatuju model-model elektrik penuh yang akan diperkenalkan selepas ini.

Menurut Ericksen, Toyota tidak akan memfokuskan kepada model-model EV premium dengan harga tinggi serta jarak gerak yang jauh, sebaliknya ia akan menumpukan aspek mampu milik, ketahanan dan juga tanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan kereta-kereta elektrik keluarannya mampu kekal kompetitif dalam pasaran – kualiti-kualiti sama yang menyebabkan Prius berjaya dalam pasaran sebelum ini.

Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

Walau bagaimanapun, divisi mewah Toyota iaitu Lexus mungkin akan menawarkan EV dengan jarak gerak jauh sekitar 644 km (400 batu) hingga 805 km (500 batu) menggunakan pek bateri lebih besar.

Ericksen menyatakan bahawa Toyota melihat faktor mampu milik adalah sama penting dengan faktor mesra alam. Ini kerana sekiranya kereta EV ini boleh dijual dalam jumlah yang banyak, barulah ia mendatangkan impak untuk alam sekitar, berbanding hanya golongan tertentu sahaja yang mampu memilikinya sementara yang lain masih menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional.

“‘Tidak ada apa yang akan terjadi sehingga anda menjual kereta’ merupakan ekspresi yang kami ada dalam peringkat dalaman,” kata Ericksen. “Untuk mendapatkan impak positif terhadap alam sekitar, anda terlebih dahulu perlu menjual kereta dalam jumlah yang banyak…jadi adalah sangat penting untuk titik harga seperti itu bagi membolehkan kami membuat model perniagaan sebenar darinya,” tambahnya lagi.

Toyota kini sudahpun komited terhadap banyak sumber untuk membangunkan bateri dengan sasaran bagi mengurangkan kos (sehingga 50% bermula dengan bZ4X), yang mana, hasilnya akan menurunkan harga kereta elektrik. Model-model EV tersebut akan masuk ke pasaran sebagai model berpatutan dengan jarak gerak lebih dekat, dan bukan dijadikan sebagai model-model paling mahal. Toyota mensasarkan untuk menjual berjuta-juta EV menjelang akhir dekad ini.

Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

Untuk aspek jarak gerak, Toyota tidak akan mensasarkan untuk mendapatkan angka-angka yang besar seperti banyak yang dikejar oleh pengeluar-pengeluar EV buat masa sekarang. “Asasnya ialah, sepanjang masa, kami lihat jarak gerak EV ini sama seperti kuasa kuda. Orang yang kaya dan mampu untuk membeli kereta yang sangat mahal mampu untuk mendapatkan lebih kuasa kuda,” kata Ericksen.

“Bateri adalah mahal, dan lebih besar bateri yang anda hasilkan, ia akan menjadi lebih mahal. Jadi, ini helahnya, saya rasa dalam jangka masa panjang, ia bukan hanya berkenaan jarak, jarak, jarak; helahnya adalah untuk memadankan jarak gerak dan titik harga berdasarkan apa yang pelanggan mampu. Dan apabila orang ramai semakin terbiasa menggunakan EV, saya rasa kebimbangan terhadap jarak gerak akan hilang,” tambahnya lagi.

Ericksen terus menerus menyatakan bahawa banyak pembeli EV akan mula faham bahawa mereka tidak memerlukan jarak gerak sejauh 482 km (300 batu) atau 644 km (400 batu) atau lebih, dan ia sudah tentu tidak sekiranya kereta tersebut merupakan kereta kedua atau ketiga yang mereka beli.

Pendekatan “cukup-cukup” ini perlu dilakukan dengan betul, kerana mengikut laporan penyelidikan yang dikeluarkan oleh J.D Power, EV dengan jarak gerak lebih dari 322 km (200 batu) adalah lebih memuaskan berbanding model-model dengan jarak gerak lebih rendah. Menurut Toyota, bZ4X akan menawarkan bateri lithium ion 71.4-kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 402 km (250 batu).

Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

“Kami sedang cuba untuk menawarkan bateri dengan saiz yang betul berdasarkan penggunaan pelanggan, bagi mendapatkan titk harga yang betul, ketenangan minda yang betul. Dan kami rasa semua sudah ada pada bZ4X sekarang. Adakah akan ada pelanggan yang mahukan lebih jarak gerak dalam tempoh lebih lama? Sudah tentu,” kata Ericksen lagi.

Beliau turut menerangkan bahawa jarak gerak yang lebih jauh dari 644 km (400 batu) akan menjadi sasaran untuk model-model mewah, di mana Lexus telah pun menayangkannya menerusi model konsep LF-Z Electrified. Kereta tersebut menampilkan bateri lithium-ion 90 kWj bagi mencapai jarak gerak jauh, namun bateri sebesar itu memerlukan lebih sel yang menyebabkan tapak karbon lebih besar bagi menghasilkannya.

“Tetapi bagi saya nombor-nombor lebih rendah adalah lebih menarik perhatian. Apa nombor paling rendah yang boleh anda letak bagi mencapai tahap mampu milik dan berdasarkan penggunaan pelanggan? Saya rasa kita sudah ada contoh dalam pasaran dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan sebagainya yang boleh kami belajar daripadanya. Ini merupakan sesuatu yang perlu kami teroka kerana ia mempunyai impak besar terhadap sumber,” kata Ericksen.

Kereta elektrik Toyota lebih tumpu aspek mampu milik, bukan model mewah dengan bateri berkapasiti besar

Beliau juga menegaskan bahawa untuk meyakinkan pengguna-pengguna EV bahawa mereka perlu membayar lebih untuk bateri lebih besar yang sebenarnya kapasiti tersebut jarang digunakan merupakan cara yang salah, serta pertimbangan perlu dibuat berdasarkan sumber atau bahan mentah yang digunakan.

“Kami perlu benar-benar berhati-hati, anda tahu, jika kami menghasilkan EV dengan bateri 200-kWj, dan anda boleh buat empat EV untuk jumlah yang sama…kami perlu fikirkan perkara tersebut sebagai masyarakat dan sebagai industri bagi mengenal pasti apa yang terbaik untuk pelanggan dan alam sekitar,” jelasnya.

Toyota turut menyatakan bahawa model-mode EV binaannya dihasilkan dari pengetahuan yang telah mereka dapat ketika membangunkan teknologi hibrid. Ia termasuk ketahanan dan jangka hayat bateri, dengan bateri bZ4X didakwa mampu untuk mengekalkan kapasitinya sehingga 90% selepas 10 tahun. Malah staf-staf servis Toyota yang biasa dengan penyelenggaraan model-model hibrid ini juga tidak mempunyai masalah dengan sistem voltan tinggi bagi memberikan khidmat kepada pelanggan.

GALERI: Toyota bZ4X

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required