Bagi anda yang berada di Johor dan memiliki saman trafik tertunggak, inilah masa yang paling tepat untuk anda melangsaikan pembayaran saman terbabit. Sempena dengan Program Ketua Polis Johor Bersama Masyarakat yang berlangsung mulai hari ini sehingga 15 Disember 2021, diskaun sebanyak 50% bagi saman terpilih kepada mereka yang membuat pembayaran melalui kaunter trafik di semua daerah negeri ini.
Menurut pengumuman yang turut dibuat menerusi Facebook rasmi Polis Johor, semua saman layak mendapat diskaun yang ditawarkan kecuali saman lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan, memotong secara berbahaya, memotong di garisan berkembar, dan terbabit dalam kemalangan. Semua saman tersebut adalah untuk kesalahan yang dilakukan pada tahun 2021.
Selain itu, kesalahan trafik lain yang dikecualikan dari diskaun ini termasuklah saman non compaund, kesalahan yang melibatkan perbicaraan di mahkamah, kemalangan yang melibatkan lori, dan ubahsuai ekzos.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor Superintendan M Kumarasan, berdasarkan perangkaan, sebanyak 10.07 juta saman tertunggak bagi Kontinjen Johor, meliputi 7.15 juta saman Pol 170A dan 2.91 juta saman Pol 257 dengan 72% masih belum dijelaskan bagi tempoh sejak 2000 hingga hari ini, laporan Harian Metro.
“Sehingga kini, sebanyak 3.75 juta saman yang sudah selesai dibayar, selain tawaran ini juga memberi ruang kepada pengguna jalan raya bagi menyelesaikan saman lalu lintas dan memahami kekangan kewangan,” katanya yang turut menasihati orang ramai yang ingin berurusan di kaunter saman trafik agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.