Baru sahaja selesai satu kes Marshal kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang menahan trafik di Port Dickson bulan lalu, minggu ini satu lagi kes yang sama berlaku di daerah sama. Namun menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt. Aidi Sham Bin Mohamed menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, dua orang suspek dalam kes berkenaan telah pun menyerah diri.
“Pada 6/12/2021 jam 1245 hrs dan 1430 hrs (2) Lelaki berbangsa Melayu yang dipercayai terlibat dalam rakaman aksi marshal tersebut telah hadir ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik daerah Port Dickson untuk serah diri.
“Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun dengan salah seorang berpangkat Dato’ bekerja sebagai Ahli Perniagaan dan Agen Insuran telah hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka yang dirakam telah ditularkan secara meluas di media sosial,” tulis kenyataan tersebut.
Susulan itu, pihak polis terus menahan kedua-dua individu berkenaan di Balai Polis Trafik Port Dickson, serta merampas dua buah motorsikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam di dalam video tersebut.
“Pihak Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua-dua lelaki jika wujud lain-lain kesalahan,” tambah kenyataan itu lagi.
Sebelum ini Polis Port Dickson telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang mengesan individu yang terlibat dalam satu video yang tular pada 5 Disember lalu, memaparkan aksi marshal dengan motosikal seakan motosikal polis, memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motorsikal berkuasa tinggi dalam jumlah lebih kurang 20 buah motorsikal melalui laluan tersebut.
Menerusi rakaman berkenaan, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sg. Baru Alor Gajah Melaka melepasi kawasan Jalan Tg. Agas Pasir Panjang Port Dickson.
Menurut Aidi Sham menerusi kenyataan itu, kes ini akan disiasat bawah Sek.21 Akta Polis 1967, Sek.48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59 (Kaedah 12(3)(A) – (Kesalahan di garisan berkembar).
“Seseorang marshal tidak dibenarkan memberi apa jua arahan bagi tujuan menahan/memberhentikan kenderaan/melencong kehadiran tanpa kehadiran mana-mana Pegawai Polis.
“Pihak Polis tidak berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan yang berlagak sebagai polis trafik dalam mengawal lalulintas yang mana boleh mendatangkan bahaya dan menyekat hak-hak bergerak di jalan awam,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.