Selepas memperkenalkan pikap Ranger serba baharu, Ford turut mengumumkan rancangan untuk menaiktaraf fasiliti pembuatannya yang memasang trak berkenaan di Thailand. Ford berkata, syarikatnya telah melabur sebanyak US$900 juta (RM3.79 bilion) untuk menaiktaraf kilang terbabit, sekaligus merupakan pelaburan terbesar yang pernah dilakukan di negara berkenaan.
Lebih daripada separuh jumlah itu akan digunakan untuk menambah jumlah robot di kilang Ford Thailand Manfacturing yang terletak di Rayong dan di AutoAlliance Thailand, hasil kerjasama dengan Mazda yang juga berada di lokasi berhampiran. Baki selebihnya berjumlah US$400 juta (RM1.68 bilion) pula akan digunakan dalam pelaburan untuk menaiktaraf rangkaian rantaian bekalan, laporan Reuters.
Pengeluar kereta ini juga akan menambah shif kedua bagi fasiliti FTM, yang turut memasang SUV Everest. Dianggarkan sebanyak 1,250 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan, sekaligus menambah jumlah tenaga kerja di Thailand yang kini mencecah lebih 9,000 orang.
Mampu mengeluarkan sekitar 270,000 kenderaan setahun di Thailand, Ford berkata 60% daripada produksinya adalah untuk pasaran eksport di seluruh Asia Pasifik termasuk Australia, New Zealand dan Filipina. Produksi bagi Ranger baharu juga akan bermula di Thailand dan Afrika Selatan pada awal tahun hadapan.
Dengan naiktaraf kilang tersebut ia dapat menyesuaikan pengeluaran yang lebih baik untuk kenderaan termasuk open cab dan pikap empat-pintu bagi memenuhi permintaan. “Jika permintaan bertambah pada masa akan datang, bahagian itu akan diselaraskan pada setiap bulan,” ujar Kamolchanok Prasertsom, pengarah komunikasi Ford untuk pasaran Thailand dan ASEAN.
Pelaburan besar yang dibuat oleh pengeluar kereta itu di Thailand adalah berbeza dengan langkah penutupan yang dilakukan terhadap tiga kilangnya di Brazil pada tahun ini,sebahagian daripada rancangan penstrukturan global bernilai AS$11 bilion (RM46.1 bilion) dan strategi untuknya mencapai 8% margin bagi operasi global. Ford juga menamatkan pengeluaran di India, di mana ia telah lama berhempas pulas untuk mengaut keuntungan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.