Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menawarkan pengurangan bayaran saman sehingga 80% bermula dari hari ini iaitu 9 hingga 12 Disember 2021. Ia adalah sempena dengan sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pengurangan bayaran saman ini adalah untuk kompaun saman terpilih dengan had minima sebanyak RM30. Semua pembayaran saman boleh dibuat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman dan di semua kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah seluruh negara selama tempoh empat hari ini sahaja.
Walau bagaimana pun, pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.
“Polis menyeru orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19 semasa berurusan di kaunter bayaran fizikal dan menggalakkan pembayaran secara dalam talian, serta membantu orang ramai yang terkesan dengan situasi sukar pandemik Covid-19 ini,” kata kenyataan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.