Triumph baru sahaja memperkenalkan model Tiger 1200 2022 kepada dunia. Ia melibatkan pembaharuan yang menyeluruh termasuk casis dan enjin, dan kini disediakan dalam lima varian iaitu 1200 GT, 1200 GT Pro, 1200 GT Explorer, 1200 Rally Pro dan 1200 Rally Explorer.
Bagi memudahkan anda mengenalinya, varian GT datang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan tayar yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa sementara varian Rally pula datang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang (tanpa tiub), dengan tayar dual purpose.
Kemudiannya, nama Explorer itu pula menandakan ia datang dengan tangki bahan api lebih besar, iaitu 30 liter, sementara varian Pro dan GT biasa pula cuma datang dengan tangki 20 liter.
Enjin tiga silinder T-Plane baru yang digunakan pada Tiger 1200 ini mempunyai kapasiti 1,160 cc dan mampu menghasilkan kuasa 148 hp pada 9,000 rpm dan 130 Nm tork pada 7,000 rpm. Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, sistem pacuan kini ditukar kepada syaf dan bukan lagi rantai. Quickshifter diberikan terus kepada semua varian kecuali 1200 GT asas.
Suspensi elektronik semi aktif Showa diberikan kepada semua varian, tetapi terdapat perbezaan pada jarak geraknya, iaitu GT 200 mm dan Rally 220 mm. Bahagian hadapan menggunakan fork USD 49 mm manakala di belakang menggunakan monoshock dengan penyerapan semi aktif dan larasan pra beban automatik.
Brek spesifikasi tinggi turut diberi pada semua Tiger 1200 baru ini, terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo M430 Stylema di hadapan dan pam atas Magura HC1 manakala di belakang menggunakan cakera 282 mm dengan angkup Brembo satu piston. ABS two-channel adalah standard.
Pakej elektronik pada Tiger 1200 baru ini juga agak lengkap, dengan termasuk sistem Triumph Blind Spot Radar yang dibangunkan bersama Continental. Selain Cornering ABS dan Traction Control, ia juga mempunyai mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Sport, Rider (boleh diubah oleh penunggang), Off-Road dan Off-Road Pro bagi varian Rally, sementara varian GT mempunyai mod Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road. Varian asas 1200 GT pula cuma mempunyai mod Road, Rain dan Sport.
Turut diberikan pada semua varian, kecuali 1200 GT adalah Cruise Control, Hill Hold Control dan tongkat tengah. Semua informasi penting dipaparkan pada skrin TFT-LCD tujuh inci bersama sistem My Triumph Connectivity yang membenarkan sambungan kepada telefon pintar, navigasi serta GoPro (untuk semua varian).
Menurut Triumph, melalui kerangka serta enjin baru pada Tiger 1200 ini, beratnya sekarang 25 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya dengan 1200 GT mencatat berat 240 kg, GT Pro 245 kg dan GT Explorer 255 kg. Tiger 1200 Rally Pro pula mencatat 249 kg manakala 1200 Rally Explorer 261 kg.
GALERI: Triumph Tiger 1200 GT 2022
GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022
GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Explorer 2022
GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Pro 2022
GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.