Ekoran banjir teruk yang melanda Lembah Klang pada Sabtu lalu, PLUS Berhad mengambil keputusan untuk menutup Plaza Tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam disebabkan paras air yang tinggi dan boleh mendatangkan risiko.
Walau bagaimana pun, pagi ini, PLUS mengumumkan plaza tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam kini dibuka semula secara berperingkat kepada trafik.
“Berikutan paras air banjir yang telah surut, pihak PLUS segera menjalankan kerja-kerja pembersihan, pengalihan kenderaan yang terkandas, pemeriksaan menyeluruh dan kerja pembaikan ke atas aset lebuh raya serta peralatan tol yang rosak disebabkan oleh air banjir.
“Malahan laluan yang terjejas kini telah dibuka secara berperingkat. Namun, kami menasihati para pengguna untuk tetap berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran kerana masih ada di beberapa bahagian jalan yang masih ditakungi air banjir”, kata Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad.
Sementara itu, di Kuala Lumpur pula, hampir kesemua jalan yang terjejas dengan banjir kini sudah boleh dilalui semula. Namun terdapat beberapa laluan yang masih tidak boleh dilalui oleh trafik. Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Dataran Merdeka masih ditutup untuk memberi laluan kepada Alam Flora membersihkan kawasan sekitarnya.
Dalam kemaskini sehingga jam 4 pagi tadi, Terowong Smart juga masih ditutup di kedua-dua arah. Manakala Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta), ada seksyen berhampiran jalan keluar Istana Negara telah ditutup untuk kerja-kerja baikpulih. Seperti semalam, kenderaan yang datang dari arah utara dilencongkan ke Jalan Semantan dan Lebuhraya Sprint.
Walau pun kebanyakan laluan yang terjejas dengan banjir telah pun dibuka semula, pengguna jalan raya dinasihati memandu kenderaan atau menunggang motosikal dengan lebih berhati-hati ekoran masih banyak serpihan termasuk sampah bersepah di atas jalan dan permukaan jalan yang berlubang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.