Proton telah mengumumkan bantuan untuk para pelanggannya yang mengalami kerosakan kenderaan akibat banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di bahagian Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bantuan tersebut merupakan tawaran diskaun sebanyak 20% bagi alat ganti tertentu dan caj buruh.
Bukan itu sahaja, caj tunda sebanyak RM200 dan caj pembersihan bahagian luar dan ruang enjin sebanyak RM100 akan dibayar oleh syarikat tersebut. Walau bagaimana pun, pelanggan perlu membuat laporan polis mengenai kejadian banjir yang dihadapi terlebih dahulu.
“Fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan beribu orang terutama sekali di Selangor dan Shah Alam, di mana terletaknya ibu pejabat Proton. Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan mereka dan ini termasuk kereta mereka juga. Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi keyakinan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan utama syarikat,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tambah beliau, Proton agak bertuah kerana banjir baru-baru ini tidak menjejaskan barisan pengeluarannya tetapi lebih dari 1,000 kakitangannya telah terjejas. Justeru, ahli-ahli Kelab Proton, organisasi sosial dan kesejahteraan dalaman untuk semua kakitangan, telah diaktifkan untuk menyediakan pakej penjagaan serta menawarkan servis pembersihan kepada rakan-rakan dan keluarga mereka
“Keadaan yang luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa. Proton akan berusaha untuk menentukan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini. Lebih lagi, alat gentian tulen akan diberi jaminan jadi mereka yakin kualiti kerja pembaikan kami,” ujar Roslan lagi.
Untuk maklumat lanjut, para pelanggan yang terlibat bolehlah menghubungi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-88-8398.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.