Bagi yang merancang untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung bagi menghabiskan cuti tahunan pada hujung minggu ini sehingga ke minggu hadapan, PLUS telah mengeluarkan jadual cadangan perjalanan (TTA) sempena cuti sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2022.
Untuk yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Lembah Klang, PLUS mencadangkan kenderaan yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor untuk memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala bagi yang menuju ke lain-lain negeri, boleh memulakan perjalanan selepas jam 1 tengahari.
Bagi yang ingin memasuki Lembah Klang pula, PLUS mencadangkan kenderaan yang datang dari arah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor untuk memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. TTA ini berkuatkuasa sekarang sehingga 3 Januari 2022.
Memandangkan kita masih lagi berada di bawah situasi Covid-19, PLUS juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP sepanjang perjalanan mereka di lebuh raya. Pemandu juga dinasihatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini.
Pengguna lebuh raya juga disaran supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS untuk menikmati pengalaman yang lebih mudah dan selesa ketika berhenti rehat di R&R terpilih.
Selain itu, menerusi Aplikasi PLUS ini juga, para pengguna lebuhraya dapat merancang perjalanan serta mendapatkan maklumat trafik terkini serta melihat paparan kamera CCTV keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.
Malahan aplikasi tersebut juga menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol atau berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.