Millennium Welt, pengedar BMW bertauliah di Malaysia, telah melaksanakan majlis pecah tanah untuk memnina fasiliti 4S yang terletak di Seremban 2, Negeri Sembilan. Dengan pelaburan berjumlah RM60 juta dan dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2023, fasiliti berkeluasan 153,948 kaki persegi ini akan direka berasaskan konsep terkini BMW Retail NEXT.
Apabila siap kelak, pusat BMW 4S Seremban 2 ini akan menempatkan 12 petak penyelenggara untuk perkhidmatan selepas jualan, serta bakal mempunyai 181 petak parkir. Ia juga akan menempatkan bilik pameran untuk mempamerkan kenderaan di bawah jenama BMW Group Malaysia, termasuk BMW, MINI, BMW Motorrad, dan juga kenderaan pra-pemilikan.
“Sebagai pengedar bertauliah tunggal untuk portfolio BMW Group Malaysia untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad di Negeri Sembilan, Millennium Welt telah menjadi rakan kongsi yang tidak ternilai dan boleh dipercayai untuk terus memberikan pengalaman pemilikan premium. Dengan kemudahan baharu ini, kami yakin, bukan setakat standard yang dapat dikekalkan, bahkan ia akan memberikan yang terbaik apabila fasiliti ini beroperasi untuk para pelanggan di Seremban kelak,” kata Hans de Visser, pengarah urusan BMW Group Malaysia.
Pengarah urusan Millennium Welt, Bryan Wong pula berkata, “Di Millennium Welt, pengalaman pemilikan premium bermula apabila pelanggan berkunjung ke wakil pengedaran. Adalah menjadi keazaman bagi kami untuk membantu pelanggan mencari dan memilih kenderaan BMW, MINI atau BMW Motorrad yang bertepatan dengan keperluan mereka.
“Bukan itu sahaja, kami juga komited untuk memberikan yang terbaik untuk pengalaman selepas jualan premium. Dengan adanya fasiliti baharu ini, kami tidak sabar untuk menyemarakkan rasa persona terhadap kenderaan premium kami di kalangan para pelanggan di Negeri Sembilan.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.