Sekali pandang, pasti ramai yang menyangka ini adalah sebuah skuter klasik Vespa atau Lambretta dengan enjin dua strok. Tapi sebenarnya bukan. Ia adalah skuter elektrik baru keluaran syarikat dari United Kingdom, iaitu One Moto, dan dipanggil sebagai Electa.
Model ini sudah pun mula dijual di India dengan harga 199,000 rupees (RM 11,130), dan menjadi tambahan baru kepada model Byka dan Commuta yang sedia dijual oleh One Moto di negara itu. Selain skuter, One Moto juga ada mengeluarkan basikal elektrik dan alat mobiliti persendirian lain.
Electa digerakkan oleh motor elektrik Bosch 4 kW yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 72 V 45 AH, mampu memberikan jarak gerak maksimum 150 km untuk sekali cas penuh dan laju maksimum 85 km/j. Bateri yang terletak di bawah tempat duduk boleh dicabut untuk memudahkan pengguna, dan ia boleh dicas penuh dalam masa antara empat ke lima jam.
Selain bentuk klasik yang sudah biasa dilihat ini, Electa juga datang dengan kelengkapan lain seperti brek cakera depan dan belakang, lampu penunjuk arah dan lampu belakang LED, rim 12 inci dan berat keseluruhan 115 kg.
Ia juga turut dipasang dengan panel instrumen digital, yang boleh disambungkan kepada telefon bimbit melalui aplikasi “One App”, dan memberikan fungsi seperti kedudukan motosikal, amaran apabila motosikal keluar daripada kawasan yang telah ditandakan serta pemain muzik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.