Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa sebanyak 215 saman dan 11 rampasan telah dibuat sepanjang tempoh 19 hari Operasi Khas Penjaja Jalanan yang dijalankan pada hujung tahun lalu.
Menurut DCP Timbalan Pengarah 1 JSPT PDRM, Dato’ Mohd Nadzri Hussain dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, operasi khas untuk mengawal kegiatan penjaja yang menjual makanan dan minuman seperti jeruk mangga dan lain-lain di lampu isyarat tersebut telah berlangsung bermula 13 hingga 31 Disember 2021 yang lalu.
“Aktiviti penjaja jalanan menjadi satu trend perniagaan yang berleluasa sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Lokasi yang sering berlakunya aktiviti ini adalah di persimpangan lampu isyarat jalan dengan penjaja menjual makanan jeruk mangga dan lain-lain makanan dan minuman. Aktiviti seperti ini sekiranya tidak dikawal, boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Penjualan sebegini merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya. Justeru itu, JSPT telah melaksanakan Op Khas (Penjaja Jalanan) di seluruh negara bermula 13 Disember 2021 sehingga 31 Disember 2021,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
Selain dari tindakan saman dan juga rampasan, Polis juga telah menjalankan 137 tindakan advokasi iaitu peringatan tegas diberikan supaya penjualan dihentikan serta merta.
“JSPT menggesa kepada semua pengusaha dan penjaja jalanan agar menghentikan penjualan jeruk mangga, makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya. JSPT komited akan menjalankan operasi sebegini secara berterusan supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Mana-mana individu yang terlibat dalam urusan beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan sekiranya disabitkan kesalahan. Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan kempen Op Khas (Penjaja Jalanan) ini,” tulis kenyataan itu lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.