Sebanyak 8,6 juta saman trafik telah dilangsaikan dalam tempoh tawaran diskaun sehingga 31 Disember lalu, laporan Bernama. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.
“Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya.
Beliau turut berkata pihaknya tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh tawaran diskaun tersebut memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.
Pada asalnya, tawaran diskaun saman tersebut boleh dibayar di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 9 hingga 12 Disember, namun telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021, dan ia semua pembayaran saman berkenaan boleh dilakukan di ibu pejabat kontigen dan daerah polis, selain pembayaran menerusi dalam talian termasuk portal MyBayar Saman.
Pengumuman mengenagi kadar diskaun saman tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa, menyebabkan kaunter pembayaran di KLCC menjadi sesak teruk. Ini memaksa pihak polis menutup kaunter berkenaan kerana ia sukar untuk dikawal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Malahan pembayaran menerusi portal MyBayar Saman dan sistem MYSIKAP JPJ juga sukar untuk dilakukan kerana trafik laman web yang tinggi sehingga mendapat rungutan orang ramai.
Walau bagaimana pun, pengurangan kompaun tersebut tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.