Model adventure berenjin kapasiti rendah keluaran KTM, iaitu 390 Adventure diberikan peningkatan bagi model keluaran tahun 2022. Bahagian pertama yang diubah sudah tentu adalah penampilan, di mana ia sekarang ditawarkan dengan dua grafik baru yang lebih menyamai model-model lebih besar.
Kemudiannya, sistem kawalan cengkaman pada motosikal ini dinaik taraf dengan dua mod iaitu Offroad dan Street. Dalam mod Offroad, tindak balas kemasukan sistem elektronik untuk mengehadkan kuasa menjadi kurang sensitif sekaligus membenarkan sedikit gelinciran pada roda belakang dan memudahkan pengendalian di atas permukaan licin.
Dalam mod ini juga, sekiranya penunggang terjatuh atau enjin terpadam, ia masih akan kekal mod yang dipilih dan tidak akan disetkan semula kepada mod Street. Ini bermakna, penunggang tidak perlu menekan semula tetapan kawalan cengkaman tersebut apabila enjin terpadam sekejap.
Turut dipertingkat adalah bahagian rim, di mana unit aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakangnya dijadikan lebih tahan lasak. Menurut KTM, rekaan lima cabang yang baru ini dapat meningkatkan ketegaran serta ketahanannya berbanding rekaan enam cabang sebelum ini. Rim tersebut dibalut tayar Continental TKC 70.
Bahagian mekanikal lain masih kekal sama, bermula dengan enjin satu silinder 373 cc berkuasa 43 hp dan 37 Nm tork, transmisi enam kelajuan, klac slipper, fork WP Apex 43 boleh laras, monoshock WP Apex, brek Bybre, tangki bahan api 14.5 liter, lampu LED serta skrin TFT 5.0 inci.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.