MINI telah memperkenalkan satu program khas yang dinamakan sebagai Recharged, di mana ia mengubah suai model klasik Mini kepada kereta pacuan elektrik sepenuhnya. Dibangunkan oleh sepasukan jurutera dari kilang MINI di Oxford, program ini dijalankan khas hanya di United Kingdom dan serasi dengan strategi masa hadapan jenama itu ke arah elektrifikasi.
Menurut MINI, idea untuk program ini sudah ada sebelum kereta elektrik pertama jenama itu, iaitu MINI Cooper SE dijual kepada awam lagi. Kemudiannya pada tahun 2018, pengenalan Classic Mini Electric waktu acara New York International Auto Show juga menarik banyak reaksi positif, sehingga pasukan di Oxford ini berusaha untuk menyediakan pakej ubah suainya.
Pemilik kereta Mini klasik boleh menghantar kereta mereka dan enjin pembakaran dalaman A Series sedia ada padanya akan diganti kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 122 PS (121 hp atau 90 kW) dalam program ini.
MINI memberitahu, pakej ini boleh menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa sekitar sembilan saat dan motor elektrik itu mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang boleh dicas menggunakan output 6.6 kW dan memberikan jarak gerak sehingga 160 km. Setiap kereta yang dibuat juga akan menerima panel instrumen yang diubah suai – masih nampak klasik tetapi dengan penunjuk tambahan seperti kedudukan gear, jarak gerak dan suhu.
Bagi mengekalkan warisan sejarah kereta klasik ini, ubah suai yang dibuat kepada pemacu elektrik ini boleh diubah semula kepada enjin biasa sekiranya pemilik mahu. Malahan, enjin asal yang dikeluarkan juga akan ditanda dan disimpan supaya boleh dipasang kembali.
Melalui program MINI Recharged ini, pemilik dapat memandu kereta kesayangan mereka di zon emisi rendah yang wujud di banyak bandar besar dan biasanya tidak boleh diakses oleh kereta pembakaran dalaman. Pemilik juga tidak perlu mendaftar semula kenderaan mereka selepas ubah suai dibuat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.