Laman jualan kenderaan atas talian myTukar mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan sasaran membuka hampir 25 pusat khidmat pelanggan serta pusat pameran di seluruh negara tahun ini.
Selain platform digital, pusat pameran baru ini nanti akan menjadi satu lagi tempat untuk pelanggan membeli dan menjual kenderaan mereka secara lebih mudah. Syarikat ini juga akan membuka tempat yang mereka panggil sebagai pusat pengalaman runcit, seperti yang sudah beroperasi di Puchong South. Konsep pusat sehenti ini menyediakan pelanggan dengan khidmat serba lengkap termasuklah servis dan penyelenggaraan.
Lokasi yang disasarkan oleh myTukar untuk pembukaan pusat khidmat mereka ini antaranya termasuk Perak, Kedah, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Lembah Kelang, Johor dan Seremban.
“Melalui pengembangan perniagaan ini, kami harap dapat menjadikan myTukar sebagai satu jenama komuniti, satu platform yang mendorong pembangunan industri kereta terpakai. Dengan adanya pusat khidmat fizikal ini nanti, kami akan dapat melayan pelanggan dengan lebih baik dan memberikan mereka lebih banyak akses kepada kenderaan berkualiti berbanding sebelum ini,” kata CEO myTukar, Derrick Ng.
“Sasaran kami untuk tahun 2022 adalah untuk mempunyai pusat pengalaman runcit di semua bandar utama di seluruh negara. Jenama ini sekarang bergerak ke arah menjadi jaringan yang fokus kepada pelanggan, memastikan pengguna kami sentiasa dapat berhubung, rasa selamat apabila menggunakannya dan percaya kepada kami. Kami juga mahu menyediakan pelanggan dengan tawaran yang lebih menarik serta pengalaman jual beli yang lebih menyeluruh,” tambah Derrick.
Semasa acara myTukar AutoFair 2022 yang berlangsung di pusat pengalaman runcit mereka di Puchong South 7-9 Januari lalu, myTukar telah mencatat 443 tempahan kenderaan dengan keseluruhannya berjumlah RM29 juta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.