Selepas tular foto satu kelab kereta yang ‘menguasai’ lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai tempoh hari, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihaknya akan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan, lapor Harian Metro.
Sejak ianya dibuka pada September tahun lalu, lebuhraya yang memudahkan perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang atau Jelebu berkenaan menjadi tumpuan orang ramai untuk bersantai dan mengambil gambar kerana kawasan berkenaan menyajikan pemandangan menghijau dan mendapat jolokan ‘New Zealand Malaysia’. Namun aktiviti berkenaan jelas menjadi kesalahan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Meletakkan kenderaan di lorong kecemasan lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak tidak dibenarkan dan ia menjadi satu kesalahan,” kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad.
“Justeru polis akan melakukan rondaan pemeriksaan bagi memastikan tiada kenderaan diletakkan di lorong kecemasan dan melakukan aktiviti berbahaya lain.
“Saya difahamkan ada juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga, ia memang tidak dibenarkan kerana menjadi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” tambahnya.
Menurut Shafiei lagi, pihaknya akan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai lokasi sesuai yang dibenarkan bergambar.
“Orang ramai diminta tidak melakukan sesuatu aktiviti di lokasi terbabit yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Isnin lalu Polis Daerah Nilai mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan memanggil sekumpulan pemilik Honda Civic generasi ke-10 (FC) yang berkumpul di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuhraya berkenaan kira-kira 6.30 petang, Sabtu lalu.
Mohd Fazley turut menyatakan bahawa pihaknya sudah mengenalpasti kira-kira 48 kereta yang terbabit dalam gambar yang tular tersebut, dan hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terbabit mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.