Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengumumkan, sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Tahun Baharu Cina 2022 yang telah pun bermula sehingga 8 Februari ini, had laju bagi Jalan-Jalan Persekutuan dan Jalan-Jalan Negeri telah diturunkan. Perkara ini turut diwartakan oleh Kementerian Kerja Raya, iaitu penurunan had laju sebanyak 10 km/j untuk kedua-dua jalan berkenaan.
Di mana sepanjang tempoh itu, had laju bagi Jalan Persekutuan ialah 80 km/j dan Jalan Negeri pula 70 km/j. “Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko nahas jalan raya serta menjamin tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” ujar Dr. Wee dalam majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina, di Putrajaya pagi tadi.
Sejajar dengan hasrat utama Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu, kempen pada tahun ini masih mengekalkan tema yang sama iaitu “Pandu Cermat, Sampai Selamat”. Di mana tema ini dipersetujui untuk dikekalkan supaya ia mudah diingati dan dihayati oleh semua lapisan pengguna jalan raya.
Menurut Dr. Wee lagi, Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan raya Tahun Baru Cina pada tahun ini juga turut melibatkan beberapa program penguatkuasaan, yang merangkumi aktiviti-aktiviti penguatkuasaan seperti OPS Tahun Baru Cina (OPS TBC) oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ops Selamat Ke-17/2022 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan, yang akan berkuatkuasa pada dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan iaitu pada 30-31 Januari serta 3-4 Februari 2022. Larangan ini melibatkan tiga kategori dengan kategori pertama adalah larangan sepanjang masa yang melibatkan car carrier, dumper & tipping yang berat muatannya melebih 7,500 kg, low loader, pole trailer, bulk cement tanker, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda, dan traktor.
Manakala Kategori Kedua pula adalah larangan dari 12 tengahmalam hingga 8 pagi melibatkan kontena mengangkut barang (selain kontena yang mengangkut barang dari pelabuhan/lapangan terbang ke kawasan industri yang sama negeri dan sebaliknya), lori mengangkut barang elektronik/industri, lori mengangkut kelapa sawit/getah, dan lori kargo tanpa muatan dalam perjalanan pulang. Untuk kategori ketiga pula adalah larangan dari 6 petang ke 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan iaitu untuk lori pembancuh simen dan kren bergerak.
“Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya sebarang nahas jalan raya akibat percampuran dan pertambahan trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di atas jalan raya/lebuh raya, selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas, di sepanjang tempoh perayaan,” ujar beliau.
Selain itu, katanya, sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina 2022, sebagai inisiatif mengurangkan nahas dan kematian di jalan raya, JPJ turut melaksanakan beberapa penguatkuasaan termasuk kaedah ‘penyamaran’ sebagai penumpang bas ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya dan pelaksanaan Perception of Being Caught (POBC) secara rondaan di laluan utama Jalan Persekutuan. Malah OPS Khas Motosikal serentak di seluruh negara yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi yang berkaitan termasuk PDRM.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.