Mungkin ramai yang tidak mengetahui, ada sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan lampu LED untuk kenderaan dan turut menjadi pilihan beberapa syarikat pengeluar kereta mewah dunia. Dominant Opto Technologies Sdn Bhd yang terletak di Batu Berendam, Melaka, merekodkan permintaan tinggi daripada pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia untuk mendapatkan bekalan lampu LED tersebut.
Menurut EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, syarikat terbabit dikatakan menduduki tempat keempat di dunia sebagai pembekal lampu LED untuk kenderaan mewah, laporan Berita Harian.
“Jenama kenderaan terkemuka dunia iaitu BMW X Series antara kenderaan yang menggunakan teknologi LED yang dikeluarkan syarikat dimiliki anak jati Melaka ini. Berdasarkan perancangan awal tahun ini, Dominant Opto Technologies akan meneruskan pelaburan besar di Melaka membabitkan nilai RM1.3 bilion dan diharap syarikat itu mampu menjadi pelopor teknologi pembuatan LED di negara ini,” katanya selepas melawat kilang milik Dominant Opto Technologies baru-baru ini.
CEO Dominant Opto Techniologies Sdn Bhd, Tay Kheng Chiong berkata, syarikat itu memiliki seramai 2,126 pekerja tempatan dan 404 pekerja asing dengan menyasarkan peningkatan 20% hasil perniagaan dalam sektor berkenaan setiap tahun. Malahan, seramai 120 kakitangannya terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penghasilan reka bentuk dan pengubahsuaian supaya produk keluaran syarikat ini mampu bersaing di peringkat dunia.
“Kita membawa nama Melaka dan Malaysia yang kini berada di tempat keempat dunia sebagai pembekal kepada kenderaan berteknologi tinggi selepas Jerman di tangga pertama diikuti Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.