Nissan dilaporkan menjadi jenama automotif pertama Jepun yang akan menghentikan pembangunan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya (tidak termasuk model hibrid elektrik) untuk kesemua pasaran-pasaran utamanya kecuali Amerika Syarikat, menurut laporan Nikkei.
Syarikat tersebut akan menggunakan sumber-sumber berkenaan untuk membangunkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), yang akan dilakukan dengan rakan kongsi dalam Pakatan iaitu Renault dan Mitsubishi. Di Eropah, Nissan telah menghentikan pembangunan enjin petrol baharu untuk benua tersebut, memandangkan kos yang tinggi bagi membangunkan enjin yang patuh terhadap undang-undang emisi Euro 7 yang bakal dikuatkuasakan seawal 2025.
Pembangunan enjin petrol untuk pasaran China dan Jepun juga akan dihentikan secara berperingkat, namun untuk dua pasaran ini Nissan akan terus membangunkan enjin petrol yang digandingkan dengan sistem hibrid elektrik. Untuk pasaran Amerika Syarikat pula, Nissan akan terus menawarkan enjin petrol bagi digunakan pada trak pikap seperti Frontier dan Titan yang dijangka masih mempunyai permintaan.
Namun, walaupun Nissan tidak akan membangunkan enjin-enjin pembakaran dalaman serba baharu, jenama berkenaan masih akan menumpukan terhadap aspek penambahbaikan untuk barisan enjin-enjin sedia ada. Juga difahamkan semua kilang-kilang penghasilan enjin akan terus beroperasi dan Nissan masih tiada rancangan untuk mengurangkan tenaga kerja buat masa sekarang.
Langkah ini dilihat akan mengurangkan pelaburan tahunan Nissan secara signifikant untuk R&D enjin, yang dikatakan berjumlah sekitar 500 bilion yen (sekitar USD4.3 bilion atau RM18 bilion). Dana berkenaan kini akan dihalakan terhadap pembangunan EV dan juga teknologi lain, yang turut akan menyaksikan rombakan tugas terhadap staf-staf R&D Nissan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.