Subaru telah pun memperkenalkan BRZ Cup Car Basic pada pasaran Jepun, yang dihasilkan untuk mereka yang berminat bagi menyertai perlumbaan siri “one make” Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Cup bagi musim bermula tahun ini. Ia akan menggantikan model Toyota 86 ZN6/Subaru BRZ ZC6 yang digunakan dalam perlumbaan sama untuk musim-musim sebelumnya yang telah pun berlangsung sejak 2013.
BRZ Cup Car Basic adalah model ‘kosong’ tanpa aksesori fancy, namun dibekalkan dengan pelbagai peralatan perlumbaan yang disediakan oleh badan penala rasminya iaitu Subaru Technica International (STI). Pada bahagian luaran, tiada sebarang kit aero dipadankan, malah ia hanya hadir dengan rim besi hanya untuk bergerak memandangkan ia pasti akan ditukar dengan rim aftermarket dan tayar perlumbaan oleh pembeli kelak.
Pada bahagian dalaman pula, BRZ Cup Car Basic ini tidak diberikan beg udara sisi dan tirai, namun ianya sudah dilengkapi dengan roll cage standard dari kilang bersama bol untuk memadankan tali keledar perlumbaan enam poin. Model ini juga menerima karpet lantai yang direka khas bagi disesuaikan dengan roll cage yang telah dipasang.
Ia masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti model biasa, iaitu enjin boxer empat silinder FA24D 2.4 liter dengan sistem suntikan terus dan port D-4S dari Toyota, menghasilkan 235 PS/250 Nm. Hanya kotak gear manual enam-kelajuan ditawarkan pada Cup Car ini tanpa pilihan kotak gear automatik seperti model standard.
Namun STI membekalkan penyejuk minyak pelincir dan juga sirip penyejuk perumah LSD pada gandar belakang BRZ ini, bagi mengekalkan suhu bendalir-bendalir berkenaan walaupun kereta tersebut diasak dengan pemanduan lasak dalam tempoh jangka masa panjang di dalam litar.
Subaru BRZ Cup Car Basic ini dijual pada harga bermula 3,338,500 yen (RM121k) termasuk cukai penggunaan sebanyak 10%. Ia ditawarkan dalam tujuh warna badan seperti WR Blue Pearl, Sapphire Blue Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic dan Crystal Black Silica.
Pembeli turut boleh memilih warna Crystal White Pearl dengan tambahan harga 33,000 yen (RM1,196) dan juga Ignition Red dengan tambahan bayaran 55,000 yen (RM1,993). Subaru tidak melabelkan Cup Car ini sebagai model edisi terhad, namun ia hanya dirancang untuk dijual sebanyak hanya 30 unit setahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.